KUMPULAN pengikut pendakwah kontroversi Zakir Naik dinamakan dalam laporan polis sebagai antara pihak yang menyembunyikan anak perempuan Indira Gandhi.
Bekas guru tadika itu turut menamakan puak pemisah di selatan Thailand, serta kumpulan penyokong PAS di Kelantan dan Terengganu sebagai pihak lain yang membantu bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah menyembunyikan anaknya, Prasana Diksa, 11, dari pihak berkuasa.
Kumpulan-kumpulan ini dinyatakan di dalam laporan polis yang dibuat oleh Indira di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.
Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) berkata laporan polis dibuat berdasarkan maklumat yang diperolehi dari orang ramai.
“Ada orang bantu supaya mereka (Riduan dan Prasana) tak dijumpai,” kata Pengerusi Ingat, Arun Dorasamy pada sidang media di pejabat Malaysian Hindu Sangam di Petaling Jaya, hari ini.
“Kita tak boleh sahkan penglibatan mereka, sebab itu kita mahu polis yang sahkan.”
Tahun lalu, Indira menang kes selepas 10 tahun berjuang mendapatkan hak penjagaan ke atas Prasana dan mahkamah memutuskan penukaran agama tiga anaknya oleh Riduan terbatal.
Indira kini mencari maklumat mengenai Riduan yang membawa lari anak bongsu mereka itu ketika kanak-kanak itu masih bayi pada Mac 2009. – 25 Julai, 2019.
Komen