MENTERI Kesihatan Dr Dzulkefli Ahmad mahu semua pihak memahami terutamanya pengusaha makanan memberikan kerjasama terhadap larangan merokok di premis demi menghormati orang awam lain yang tidak merokok.
“Kita hendak semua memahami, kita buat larangan merokok itu (untuk) apa, kita tak larang merokok.
“Saya larang merokok pada tempat yang tak wajar mereka merokok. Orang awam selesa untuk makan bukan untuk merokok. Kalau nak merokok kita beri 3 meter, supaya rokok anda tak didedahkan kepada anak kecil, wanita hamil dan orang tua,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan kempen Kurangkan Gula Hidup Sihat di pasar raya besar Giant di Subang Jaya, hari ini.
Dr Dzulkefli mengulas laporan The Malaysian Insight minggu lalu bahawa hampir 2,000 pengusaha kedai kopi tutup kerana mendakwa perniagaan mereka terjejas selepas kehilangan pelanggan yang rata-ratanya merokok.
Pengusaha kedai makanan India Muslim juga sekali lagi merayu kerajaan menimbang cadangan mewujudkan zon merokok yang terkawal selepas hampir tujuh bulan larangan dikuatkuasa.
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mendedahkan purata pendapatan ahlinya merosot sehingga 30% melibatkan hampir 4,000 pengusaha kedai makan India Muslim.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefli menegaskan larangan itu wajar kerana kematian berpunca daripada merokok membimbangkan, iaitu mencecah 20,000 orang setiap tahun.
“Saya tak larang merokok, tetapi saya minta perokok patuhi undang-undang ini, akibat rokok 20,000 kematian setahun di Malaysia, itu statistik,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution enggan mengulas mengenai larangan merokok kerana bukan di bawah bidang kuasanya.
Saifudin bagaimanapun memaklumkan ada perkara lain yang membimbangkan persatuan pengusaha muslim berbanding rokok iaitu mempunyai kekangan tenaga pekerja asing yang menggangu operasi perniagaan mereka.
“Persatuan berjumpa perdana menteri pada 1 Julai tapi aduan mereka sangat spesifik kesukaran untuk mendapatkan pekerja dan bukan isu larangan merokok.
“Operasi kedai terganggu kerana mereka sukar proses permohonan untuk pekerja asing. Dan kita dah ambil tindakan dan kawal selia pengambilan pekerja.
“Untuk restoran mamak, kabinet beri kelulusan dan kabinet bersetuju berikan kelulusan 5,000 pekerja asing,” katanya.
Pada 1 Julai, kerajaan bersetuju memperkenalkan semula sistem penggantian pekerja asing kepada semua sektor.
Kewujudan semula sistem penggantian pekerja asing itu membolehkan majikan mendapat gantian pekerja asing yang telah pulang ke negara asal tanpa perlu melalui proses permohonan baharu.
Untuk rekod sistem penggantian ini yang telah dibatalkan (kerajaan terdahulu) pada 2017 mengakibatkan kesusahan kepada majikan antaranya pemohon perlu mengambil masa agak lama selain membabitkan kos yang tinggi, lapor Berita Harian. – 25 Julai, 2019.
Komen