6 bulan selepas larangan merokok di kedai kopi


Nabihah Hamid

Persatuan dan pengusaha kedai kopi mengaku kepada The Malaysian Insight mereka sudah tidak lagi mampu menanggung kerugian kerana pelanggan yang berkurangan selepas kerajaan melaksanakan larangan merokok di tempat makan. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Julai, 2019.

SATU dalam setiap lima kedai kopi tutup sepanjang enam bulan selepas kerajaan melaksanakan larangan merokok di tempat makan, kata persatuan pengusaha kedai kopi.

Persatuan dan pengusaha kedai kopi mengaku kepada The Malaysian Insight mereka sudah tidak lagi mampu menanggung kerugian kerana pelanggan yang berkurangan.

Mereka yang bertahan sebaliknya merayu kerajaan menimbang untuk membenarkan zon merokok yang terkawal di premis makanan.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, Ho Su Mong berkata pengusaha kedai kopi antara yang teruk terjejas disebabkan hilang pelanggan yang rata-ratanya merokok.

“Selepas laksana larangan ini, kita jadi mangsa. Kita terpaksa hadapi masalah ini (kurang pelanggan),” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Ada pengusaha lain, jualan mereka menurun sehingga 30 peratus.”

“Kita harap kerajaan pertimbang supaya berikan ruang pada pelanggan merokok. Sekurang-kurangnya zon merokok untuk mereka. 

“Itu lebih baik daripada peniaga hilang pelanggan,” tambahnya, yang mendakwa mempunyai 20,000 kedai kopi berdaftar dengan persatuan.

Persatuan itu adalah antara sekurang-kurangnya tiga persatuan pengusaha kedai makanan dan minuman yang membantah pelaksanaan larangan merokok di premis makanan, yang dikuatkuasakan bermula 1 Januari lalu.

Di bawah peraturan itu, tempat makan diwartakan sebagai zon larangan merokok mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. Perokok hanya dibenarkan merokok di kawasan tidak kurang 3 meter dari garis akhir kawasan tempat makan, termasuk di tempat terbuka.

Kementerian Kesihatan sepatutnya mula mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang melanggar peraturan itu pada 1 Julai lalu, namun ditangguhkan sehingga 1 Januari tahun depan.

Tempat makan diwartakan sebagai zon larangan merokok mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2019.

Kedai kopi tutup

Antara pengusaha yang terjejas ialah John Ee Hong, pemilik kafe Cosans Coffee, yang akan menutup perniagaannya hujung bulan ini.

Awal bulan ini, kedai kopi itu membuat iklan mahu menjual kafe di Subang Jaya dan menutup perniagaannya atas alasan rugi kerana larangan merokok di tempat makan.

Beliau mendakwa pendapatan kedai kopinya mencecah RM50,000 pada Disember tahun lalu tetapi merosot dari bulan ke bulan dalam tempoh enam bulan lepas. Katanya, jumlah jualan pada Jun hanya mencapai RM15,000.

“Ini adalah bulan terakhir kerana kita dalam proses jual kedai ini. Ada beberapa pembeli berminat,” katanya, ketika ditemui di kafenya di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Cosans Coffee mula beroperasi pada 2013 dengan kedai kopi pertamanya di Subang Jaya sebelum berkembang ke beberapa tempat lain di sekitar Lembah Klang.

Menurut John, beliau sudah melabur RM300,000 sebagai modal perniagaan tetapi tiada pilihan terpaksa menghentikan operasi dan memberhentikan 10 pekerja.

“Perniagaan ini sepatutnya meningkat seperti tahun lepas (jika tiada larangan merokok),” katanya.

Beliau menyalahkan penguatkuasaan larangan merokok yang dibuat secara mendadak sebelum sempat pihak pengusaha kedai makan dan minum mengatur strategi menghadapinya.

“Saya sangat sayangkan kerajaan baru (Pakatan Harapan) yang saya undi ini tetapi sekiranya hendak melaksanakan apa polisi pun seharusnya kerajaan memikirkan kesannya kepada masyarakat terutamanya peniaga.

“Mereka perlu beri notis beberapa tahun, jadi kita boleh struktur perniagaan semula. Tiga bulan ini sangat pendek,” katanya yang kecewa kerana terpaksa menutup kedainya itu.

Bagaimanapun semakan The Malaysian Insight mendapati Cosans Coffee sudah menutup beberapa kedai kopinya sebelum larangan merokok dikuatkuasa bermula 1 Januari 2018, antaranya cawangan di Bangsar dan Kota Damansara.

Pemilik kafe Cosans Coffee, John Ee Hong mendakwa pendapatan kedai kopinya mencecah RM50,000 pada Disember tahun lalu tetapi merosot dari bulan ke bulan dalam tempoh enam bulan lepas. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Julai, 2019.

Masih ada kafe baru buka

Dalam pada itu, sekolah latihan kopi Barista Guild Asia (BGA) berkata tidak semua kedai kopi terjejas semata-mata kerana larangan merokok yang dikenakan oleh kerajaan sejak 1 Januari lalu.

“Pada pandangan BGA, larangan merokok tidak memberi impak secara langsung kepada kafe. 

“Persaingan dengan kedai bubble tea juga boleh jadi penyebab jualan kafe sedikit merosot,” kata pengurus besar dan ketua pelatih Afiq Ammar Khan.

Ho bagaimanapun menafikan kehadiran kedai bubble tea atau teh susu mutiara menyebabkan banyak kedai kopi tutup disebabkan persaingan. 

“Bukan sebab itu kerana ia lebih kepada trend dan jangka masa pendek. Kedai kopi ini adalah perniagaan jaga panjang,” katanya.

Teh susu mutiara adalah minuman teh susu yang ditambah bebola dari tepung ubi dan agar-agar yang dicipta di Taiwan dan sedang popular di seluruh dunia. 

Afiq yang memberi latihan antaranya kepada pemilik kafe berkata kebanyakan kafe di pusat beli belah yang diselia di bawah BGA tidak menghadapi masalah susulan larangan merokok di tempat makan.

Beliau mengingatkan bahawa boleh merokok bukan satu-satu sebab orang ke kafe kerana yang lebih utama ialah keselesaan pada pengunjung.

“Masih ada kafe yang buka setiap bulan, di bandar dan luar bandar,” katanya. – 19 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen