Peraturan lebih ketat untuk operasi tebing sungai, kata Dr Xavier


Zaim Ibrahim

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr. Xavier Jayakumar berkata, Putrajaya bercadang memperkenalkan peraturan lebih ketat sebelum pihak berkuasa tempatan boleh mengeluarkan lesen untuk syarikat beroperasi di tepi sungai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2019.

PUTRAJAYA bercadang memperkenalkan peraturan lebih ketat sebelum pihak berkuasa tempatan boleh mengeluarkan lesen untuk syarikat beroperasi di tepi sungai, kata Dr. Xavier Jayakumar.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkata, langkah itu perlu selepas pihaknya mengambil pengajaran daripada insiden pencemaran di Sungai Selangor, baru-baru ini.

“Kita (penguatkuasa) tidak boleh tidur di sana dan mengharapkan aktiviti-aktiviti (berdekatan kawasan sungai) akan berhenti.

“Apa yang mampu kita buat ialah teruskan pemantauan. Saya sendiri sudah arahkan pegawai kementerian saya untuk turun padang dan melihat semua aktiviti di kawasan itu.

“Saya juga telah mencadangkan agar satu kajian dilakukan sama ada kita membenarkan aktiviti-aktiviti dijalankan (berdekatan kawasan sungai) atau meletakkan satu undang-undang dan peraturan yang lebih ketat sebelum kita memberi lesen kepada mana-mana syarikat menjalankan operasi mereka,” kata beliau dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Semalam, polis mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan dakwaan mensabotaj serta mencemarkan Sungai Selangor.

Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan setakat ini.

Kakitangan sebuah syarikat perlombongan milik kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengesahkan melihat beberapa individu menumpahkan minyak diesel di Sungai Selangor.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku pada jam 5.30 petang hingga 6.00 petang ketika beliau sedang meninjau kawasan itu.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sebelum itu berkata, pencemaran sungai itu ada unsur sabotaj kerana kebocoran diesel yang hanya boleh dilakukan secara manual.

Ia berikutan minyak terbabit dikesan memasuki aliran air dari sebuah pontun yang sudah tidak beroperasi sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin juga tidak menolak kemungkinan Sungai Selangor disabotaj pemancing yang sering memancing ikan di kawasan itu.

Bagi Xavier, pihaknya akan turut memantau aktiviti pertanian kecil yang beroperasi berdekatan sungai.

“Setiap sungai perlu dipelihara. Kadang-kadang ada syarikat yang menanam pokok di tebing dan hulu sungai.

“Semua aktiviti industri pertanian menggunakan racun serangga dan baja maka, (bahan-bahan kimia) boleh turun ke dalam sungai,” tambah beliau.

Sebelum ini juga, Xavier berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan ke atas mereka yang dikenal pasti bertanggungjawab ke atas pencemaran bau pada sumber air mentah di loji rawatan air Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ahad lepas, jutaan pengguna di Lembah Kelang terjejas bekalan air kerana Air Selangor menutup loji rawatan air yang tercemar. – 25 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen