Punca pencemaran Sungai Selangor dipercayai akibat sabotaj, kata MB


Noel Achariam

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, sabotaj dalam kes pencemaran kedua di Sungai Selangor berkemungkinan kerana kebocoran diesel yang hanya boleh dilakukan secara manual – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Julai, 2019.

SABOTAJ dalam kes pencemaran kedua di Sungai Selangor berkemungkinan kerana kebocoran diesel yang hanya boleh dilakukan secara manual, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini.

Beliau berkata, ia berikutan minyak terbabit dikesan memasuki aliran air dari sebuah pontun yang sudah tidak beroperasi sejak dua bulan lalu.

“Kami percaya terdapat dua tong diesel di pontun yang mungkin disabotaj.

“Ini boleh dilakukan oleh seseorang kerana tidak mungkin hos bocor. Ia tak boleh jadi angin atau faktor lain kerana alat diperlukan untuk kebocoran berlaku,” katanya kepada pemberita semasa membuat lawatan ke Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 hari ini.

Terdahulu sebuah syarikat perlombongan milik kerajaan Selangor mendakwa mengesan tumpahan diesel yang menyebabkan pencemaran sehingga memaksa penutupan empat loji rawatan air semalam.

Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) berkata, terdapat kesan tumpahan diesel berhampiran Kolam Hang Tuah di Sungai Selangor kira-kira jam 6.15 petang semalam. 

Terdahulu hari ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) membuat laporan polis berhubung dua insiden pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kemungkinan wujudnya elemen sabotaj.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar turut memuat naik kenyataan di laman Twitternya mengatakan polis telah mengenal pasti unsur sabotaj dalam pencemaran Sungai Selengor yang menyebabkan berlaku gangguan bekalan air kepada jutaan isi rumah sekitar Lembah Klang

Amirudin berkata, pemulihan bekalan air akan berada pada tahap 30% esok kerana proses pembersihan pencemaran sungai telah siap.

“Kami sedang mengisi kolam takungan. Ia akan dilakukan secara berperingkat,” katanya. – 22 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen