LANGSUNG: Bekas pengurus perhubungan AmBank memberi keterangan


Bede Hong Timothy Achariam

Pasukan peguam bela Najib Razak berkata keterangan saksi, iaitu bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu berbeza dengan keterangan akhir yang diberi pada awal bulan ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Julai, 2019.

PERBICARAAN kes SRC International melibatkan Najib Razak hari ini yang masuk hari ke-42 akan bermula lewat kerana pasukan pembelaan akan berada di Mahkamah Rayuan di Putrajaya untuk menarik balik rayuan pertuduhan yang pincang.

Peguam Najib akan menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya membatalkan tujuh pertuduhan dihadapinya kerana menerima RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 29 April lalu memutuskan yang dakwaan pembelaan yang pertuduhan itu pincang dibuat tanpa asas dan tidak disokong bukti.

Peguam Harvinderjit Singh memberitahu Nazlan semalam yang selepas permohonan, pembelaan akan kembali ke mahkamah tinggi untuk menghantar permohonan baharu berkaitan tiga perkara.

Pertama berkaitan catatan di Facebook Najib minggu lepas tentang perbelanjaan kad kredit mencecah RM3.3 juta di Itali pada 2014, yang mana pembelaan berkemungkinan berhujah ia tidak subjudis.

Permohonan kedua adalah berkaitan arahan mahkamah untuk membatalkan arahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada AmBank supaya berhenti memberikan maklumat akaun kepada Najib, yang dakwa pembelaan mencabul hak anak guamnya.

Perkara ketiga adalah kesahihan keterangan saksi, bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu. Pembelaan berkata keterangan Yu, yang diterimanya pada Januari berbeza dengan keterangan dibuat Yu awal bulan ini.

Yu adalah saksi penting kes disoal balas panjang lebar semalam oleh Pendakwa Raya V Sinthambaram. Saksi ke-54 pendakwaan itu memberitahu mahkamah yang walaupun beliau berhubung dengan Low Taek Jho- Jho Low- beliau tidak pernah bersubahat dengan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menipu SRC International.

Yu juga berkata yang beliau hanya menghubungi Low sekiranya tidak dapat menghubungi CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, pemegang mandat akaun Najib. Pemegang mandat boleh melaksanakan arahan bertulis tetapi tidak berkuasa mengeluarkan wang atau menandatangani cek, mahkamah diberitahu.

Ditanya sebab beliau menghubungi Low, Yu berkata Low jadi orang tengah untuk membuka akaun Najib di AmBank pada awal Januari 2011 dengan bantuan bekas pengarah urusan AmBank Cheah Tek Kuang. Jelasnya lagi, Low juga berupaya mempercepat proses pembayaran untuk akaun Najib.

Ditanya Sithambaram mengapa beliau bersusah payah memastikan akaun Najib tidak terlebih had, Yu berkata ia adalah untuk menjaga air muka Najib selaku perdana menteri.

Yu juga memberi keterangan yang akaun semasa Najib sentiasa telebih had pengeluaran dan pengurusan AmBank “tidak selesa” dengan deposit wang yang tinggi ke dalam akaun Najib.

Yu berkata beliau memberitahu Low dan Nik Faisal supaya Najib menutup akaunnya kerana amaran penggubahan wang haram dikeluarkan pengarah urusan AmBank ketika itu, Ashok Ramamurthy.

Najib Razak berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa. Pemimpin berusia 66 tahun itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun sekiranya sabit kesalahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2019.

Akaun semasa Najib ditutup pada 9 Mac 2015. Manakala, kad kredit dibatalkan pada 11 Mac tahun sama, selepas bayaran hutang tertunggak dijelaskan sehari sebelum itu.

Pertuduhan jenayah ke atas Najib adalah berkaitan dengan pinjaman berjumlah RM4 bilion dikeluarkan SRC International pada 2011 dan 2012. Beliau didakwa menerima suapan mencecah RM42 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa. Pemimpin berusia 66 tahun itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun sekiranya sabit kesalahan.

Najib diwakili pasukan peguam bela diketuai Muhammad Shafee Abdullah. Manakala, pihak pendakwaan diterajui Peguam Negara Tommy Thomas, manakala hakim bersidang ialah Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:

5.20pm: Mahkamah ditangguhkan. Perbicaraan bersambung 9 pagi esok. 

5.15pm: Mereka menyelidiki perbualan menerusi BlackBerry antara Yu dengan Low.

Dalam salah satu perbualan, Low memberitahu Yu bahawa “Dia tidak mahu menutupnya”.

Dia berkata, ia berhubung dengan Najib yang tidak mahu menutup akaun AmBanknya.

5.05pm: Harvinderjit menunjukkan kepada Yu emel yang dihantar oleh Low dan lain-lain di mana Low menjadikan dirinya sebagai penasihat khas kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dan menulis tentang hasratnya untuk memulakan rantaian emel mengenai transaksi TIA.

5pm: Harvinderjit bercakap dengan Yu mengenai “chat group” di antara Low, Ung dan dia yang mana Low mengarahkan Ung untuk mengeluarkan wang dari akaun yang berkaitan.

4.31pm: Harvinderjit mempersoalkan hubungan Yu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling.

Dia merujuk kepada perbualan antara Yu dan Ung di mana mereka merujuk kepada seseorang dikenali sebagai “kawan kita”.

Yu berkata “kawan kita” boleh merujuk kepada Low atau Terence Geh kerana ia adalah rujukan kepada transaksi 1MDB.

4.30pm: Mahkamah bersambung.

4.15pm: Mahkamah berehat sebentar.

3.43pm: Beliau memberitahu mahkamah bahawa terdapat seorang peguam yang hadir di AmBank ketika pegawai Bank Negara Malaysia datang ke pejabatnya.

Beliau berkata, dia berhenti dari AmBank pada 2015.

Jelasnya, dia membawa isu AmBank ke mahkamah tetapi Sithambaram mengatakan dia tidak dapat mendedahkan maklumat mengenai kesnya kerana telah menandatangani perjanjian hitam putih.

3.27pm: Harvinderjit meneruskan pemeriksaan balas dengan Yu.

H: Setiap perbualan anda dengan Jho Low adalah apabila anda tidak dapat menghubungi Nik Faisal?

Y: Ia mungkin tidak begitu.

Harvinderjit mengabaikannya.

H: Bolehkah anda membaca kenyataan saksi dan mengesahkan bahawa Nik Faisal tidak dapat dihubungi?

Y: Ia tidak dinyatakan di sini.

H: Jadi anda tidak mengatakan bahawa dia tidak dapat dihubungi?

Y: Tidak.

Yu berkata perkataan dalam kenyataannya ditulis olehnya melalui komputer. Dia mengatakan draf awal kenyataan saksi tidak memberitahu keseluruhan cerita.

3.26pm: Keadaan dilihat tegang antara Sithambaram dan Harvinderjit. Sithambaram membantah Harvinderjit.

H: Jika anda mahu terlalu terperinci mengenainya, baiklah.

S: Anda menyedihkan (pathetic)

H: Maafkan saya.

S: Saya kata, anda menyedihkan.

Nazlan menegur Sithambaram atas perkataan yang digunakannya.

3.18pm: Yu mengesahkan perbualannya dengan Low mengenai akaun semasa.

3.16pm: Timbalan pendakwa raya bangun memberitahu hakim bahawa mungkin Harvinderjit harus bertindak lebih mudah dengan saksi.

Harvinderjit berkata: “Saya telah mencuba cara yang mudah. Sekarang, saya perlu pergi dengan cara sukar”.

Nazlan memberitahu saksi untuk menjawab ya atau tidak atau bersetuju atau tidak bersetuju. Dia mengatakan kepada saksi bahawa dia ada hak untuk menjelaskan dirinya kemudian semasa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwa raya.

3.09pm: Harvinderjit: Anda menerima arahan daripada Jho Low dan memberikannya kepada Nik Faisal. Setuju atau tidak?

Yu: Tidak. Mereka saling menghubungi di antara satu sama lain.

H: Adakah anda bersetuju bahawa anda mendapat arahan sebenar daripada Jho Low walaupun anda memerlukan arahan bertulis daripada Nik Faisal?

Y: Kami hanya bertindak atas kertas (arahan). Kita hanya boleh bertindak mengikut tertulis (arahan).

H: Saya tak bertanya itu. Saya memberitahu anda bahawa anda menerima arahan daripada Jho Low dan memberikannya kepada Nik Faisal?

Y: Tidak.

H: Adakah terdapat surat yang ditulis oleh anda bagi pihak Nik Faisal dan dihantar kepadanya untuk ditandatangani?

Y: Ya.

Dia menjelaskan bahawa dia membantu merangka surat untuk Nik Faisal kerana dia tidak tahu bagaimana melakukannya. Dia akan sentiasa melalui mereka dan ditandatangani oleh mereka, katanya.

3.05pm: Harvinderjit meminta Yu untuk menjelaskan kenyataannya.

H: Adakah kedudukan anda yang berkaitan dengan akaun, anda tidak mengikuti arahan Jho Low. Ya atau tidak?

Y: Saya ikut apabila dia berkata “Jangan bagi cek itu ditendang”. Itu sahaja,

H: Untuk empat akaun ini, anda ikut arahan daripada Jho Low. Setuju atau tidak?

Y: Saya tak faham soalan anda.

H: Jho Low, dalam banyak kesempatan mengarahkan anda untuk menghantar emel kepada Nik Faisal. Adakah anda mengikut arahannya?

Y: Ya.

Harvinderjit mencadangkan bahawa Yu adalah penghubung antara Low dan Nik Faisal. Dia mengatakan mereka tidak memerlukannya untuk jadi penghubung.

2.56pm: Dalam kenyataannya semalam Yu berkata, beliau bertemu Low pada 2010 dan Najib terlibat secara langsung dalam 1MDB. Tetapi dalam draf tersebut, beliau berkata Najib adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Harvinderjit bertanya mengapa dia menukar kenyataannya. Katanya dia berbuat demikian kerana mahu lebih terperinci.

2.53pm: Dia ditanya mengenai kenyatannya yang direkodkan oleh SPRM. Dia ditunjukkan draf pertama kenyataan saksi pada Januari.

Mereka memeriksa perbezaan antara draf dan kenyataan yang ditandatanganinya serta dibaca di mahkamah semalam.

Pasukan peguam bela Najib Razak berkata keterangan saksi, iaitu bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu berbeza dengan keterangan akhir yang diberi pada awal bulan ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Julai, 2019.

2.49pm: Yu memberi keterangan. Harvinderjit memulakan pemeriksaan balasnya.

Yu ditanya sama ada dia bertemu sesiapa sahaja dalam masa 24 jam untuk membincangkan mengenai perbicaraan. Dia berkata tidak.

2.46pm: Hakim Nazlan membuat keputusannya atas permohonan kedua. Beliau berkata, penyiasatan itu tidak terjejas jika dokumen diberikan kepada pihak pembelaan. Beliau berkata SPRM tidak boleh menghalang bank dari menyediakan Najib salinan akaun dan kenyataannya.

Dalam permohonan ketiga, Nazlan membantah pihak pendakwaan terhadap kenyataan Yu.

12.51pm: Nazlan berkata beliau akan beri keputusan selepas makan tengah hari. Prosiding berhenti rehat dan akan bersambung pada 2.30 petang.

12.17pm: Permohonan ketiga pada perbicaraan hari ini ialah kesahihah keterangan saksi, iaitu bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu.

Keterangannya kepada pihak pembelaan pada Januari berbeza dengan keterangan akhir yang diberi pada awal bulan ini.

Sithambaram berkata keterangan Joanna yang berserta dengan tandatangannya perlu diketepikan.

12.12pm: Shafee berkata pasukannya tidak boleh dihalang daripada meneliti kes ini.

Nazlan berkata beliau akan membuat keputusan selepas mahkamah berehat tengah hari ini.

11.58am: Sithambaram berkata siasatan kes ini masih berjalan.

11.55am: Nazlan bertanya apakah tindakan SPRM jika pihak pembelaan memohon lebih banyak dokumen.

Sithambaram jawab mereka hanya mahu tahu apa yang dipohon oleh pihak pembelaan. Katanya, badan kehakiman tidak sepatutnya campur tangan dalam siasatan walaupun pihak pembelaan berpendapat siasatan sudah selesai.

11.39am:  Harvinderjit Singh tuduh pihak pendakwa sengaja rancang untuk menggagalkan kes pihak pembelaan. Tiada peruntukan yang menafikan hak pemegang akaun, katanya.

Harvinderjit meminta peguam negara membuat surat menyatakan pihak pembelaan tidak perlu mendapat kebenaran SPRM untuk mendapatkan penyata akaun Najib.

11.37am: Sithambaram berkata prosiding ini bukan forum untuk mencari dokumen jika ia akan digunakan sebagai sebahagian dari pada perbicaraan.

11.35am: Sithambaram berkata menerusi surat bertarikh 15 Mei tahun ini, AmBank menolak permohonan Najib untuk mendapatkan dokumen tertentu.

11.30am: Shafee berhujah bahawa SPRM perlu beri kebanaran sebelum Najib boleh dapatkan penyata akaunnya.

Shafee memberi contoh SPRM melengahkan permohonan untuk mendapatkan penyata terdahulu sehinggalah diperintahkan mahkamah.

11.30am: Shafee membaca hujahan kedua untuk memohon kebenaran mahkamah membatalkan arahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada AmBank iaitu supaya tidak memberi maklumat mengenai akaun Najib. Pasukan peguam bela berkata arahan itu melanggar hak anak guam mereka.

11.27am: Thomas beritahu hakim beliau akan membuat permohonan bertulis jika perlu.

Nazlan berkata lebih baik Thomas membuat permohonan bertulis kedua bagi menjelaskan apakah tuntutan pasukan pendakwaan. Thomas setuju.

11.22am: Hakim Nazlan bertanya apakah yang pasukan pendakwa mahu beliau lakukan. Nazlan berkata perlu ada asas kukuh bagi sebarang salah laku.

Peguam Negara Tommy Thomas beritahu pasukannya mahu Najib memohon maaf dan berjanji tidak akan membuat sebarang kenyataan mengenai perbicaraan kes di Facebook lagi.

11.20am: Prosiding bermula. Hakim Nazlan akan mendengar hujahan pasukan pembelaan mengenai kenyataan Najib di Facebook minggu lalu.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen