Amanah bantah penubuhan JITN


Yasmin Ramlan

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara dikhuatiri akan mengurangkan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2017.

AMANAH membangkang cadangan Putrajaya menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low.

Menurut timbalan presidennya Salahuddin Ayub, ia kerana jabatan tersebut dilihat hanya mengurangkan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya cukup bimbang JITN akan menjadi satu badan yang selari, iaitu memusatkan kuasa perdana menteri. Malah, saya bimbang SPRM akan diletakkan di bawah JITN (pada masa akan datang).

“(Jika berlaku) kebebasan, kewibawaan dan integriti SPRM semakin berkurang dengan wujudnya JITN kelak,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat Amanah di Kuala Lumpur hari ini.

Pada minggu lalu, Low menyatakan penubuhan JITN tidak akan mempunyai sebarang kuasa untuk mempengaruhi siasatan agensi bebas itu.

JITN di bawah Jabatan Perdana Menteri dinaik taraf sebagai jabatan penuh pada minggu lalu.

Ia akan berperanan sebagai badan penyelaras untuk menerajui perubahan transformasi dalam sektor awam serta swasta menumpukan pada tadbir urus baik, integriti dan hak asasi manusia.

Salahuddin berkata, Low bukan sahaja sudah kekeringan idea dengan memberikan cadangan penubuhan JITN tetapi seolah-olah cuba menyedapkan hati Perdana Menteri Najib Razak.

“(Oleh itu), saya merancang mengadakan pertemuan dengan SPRM pada masa terdekat, bagi menyatakan sokongan saya kepada suruhanjaya itu, sambil membantah penubuhan JITN.

“Saya berharap kerajaan melihat semula cadangan penubuhan JITN,” katanya. – 3 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen