JITN tiada kuasa pengaruhi siasatan SPRM


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low Seng Kuan berkata penubuhan JITN ketika ini dimuktamadkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui perbincangan dengan semua agensi yang berkaitan. – Gambar Youtube, 28 September, 2017.

PENUBUHAN Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) tidak akan mempunyai sebarang kuasa untuk mempengaruhi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low Seng Kuan. 

“Bukan setakat SPRM, ia juga termasuk Institut Integriti Malaysia (IIM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) oleh kerana kesemuanya merupakan institusi bebas,” katanya.

Ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Hari Terbuka SIAP dan Pelan Strategik SIAP 2017-2022 hari ini, Low berkata cadangan penubuhan JITN bertujuan menerajui perubahan transformasi dalam bina upaya keinstitusian terutamanya di kalangan penjawat awam, untuk memulakan dan memacu perubahan dasar serta memperkukuhkan proses kerajaan.

Isnin lepas, Low berkata JITN dinaik taraf daripada Bahagian Integriti dan Tadbir Urus di bawah Jabatan Perdana Menteri kepada sebuah jabatan penuh.

Dalam kenyataan semalam, Low berkata penubuhan JITN ketika ini dimuktamadkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui perbincangan dengan semua agensi yang berkaitan bagi memastikan tiada pertindihan fungsi selain untuk menambah baik keberkesanan penggunaan sumber manusia sedia ada.
 
Low berkata penubuhan JITN dipersetujui Kabinet pada 28 Julai, selaras dengan Program Transformasi Kerajaan, bagi penginstitusian inisiatif pematuhan dalam bidang tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia.

Terdahulu, Pengerusi SIAP Yaacob Md Sam dalam ucapannya berkata pelan strategik SIAP 2017-2022 merupakan perancangan pihaknya sebagai badan selain daripada SPRM yang diberi tanggungjawab bagi mengukuhkan integriti di kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi pengkuatkuasaan. 

“Pelan strategik ini mempunyai empat teras strategik dan formulasi tindakan yang perlu dilaksanakan oleh SIAP dalam tempoh lima tahun,” katanya. 

Teras pertama adalah pemantapan penyampaian perkhidmatan dalam pengurusan aduan dan siasatan; teras kedua, pemantapan perundangan, dasar dan prosedur; teras ketiga, pendidikan, pencegahan dan pembudayaan nilai integriti dan teras keempat, pemantapan keupayaan dan kapasiti organisasi, katanya. 

“Pelan ini juga akan membentuk garis panduan dalam gerak kerja SIAP dalam semua perancangan, program dan aktiviti yang dilaksanakan dalam menyediakan SIAP untuk mempu menangani cabaran bagi tahun-tahun akan datang selari dengan perkembangan kemajuan negara dan perubahan global,” katanya.  – Bernama, 28 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen