AZMIN Ali masih kekal sebagai timbalan presiden PKR tetapi masa depannya dalam parti bergantung sama ada beliau berada dalam barisan Kabinet Anwar Ibrahim apabila presiden PKR itu mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad.
Azmin tidak muncul dalam beberapa program parti dan terbaharu, di Port Dickson apabila PKR mengadakan program permukiman sepanjang minggu lalu.
Beliau juga tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat pada minggu lalu.
Hal ini menyebabkan khabar angin mengatakan Ahli Parlimen Gombak itu mungkin akan keluar dari parti yang dibantunya sejak 1999.
Sumber dalam kem Azmin berkata ketidakhadiran beliau pada program parti hanya sementara. Menteri hal ehwal ekonomi itu masih bertugas dalam kerajaan.
Pada 2014, karier politik Azmin juga berada pada paras terendah selepas gagal menggantikan Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.
Kali ini situasi lebih serius kerana Azmin terlibat dalam perbalahan secara terbuka dengan Anwar yang menerima sokongan besar dari peringkat ahli biasa sehingga kepimpinan kanan parti.
Menurut sumber, Azmin cuba mengelak bagi meredakan keadaan dan tidak menyerang Anwar.

Ia susulan beberapa siri ketegangan antara kedua-dua pemimpin itu di media susulan isu kontroversi rakaman seks yang melibatkan bekas Ketua AMK PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Haziq mendakwa dia dan Azmin merupakan dua lelaki dalam video itu tetapi timbalan presiden PKR itu berulang kali menafikannya.
Polis juga berkata indentiti individu dalam video itu tidak dapat disahkan.
Kedudukan Azmin dalam parti masih selamat buat masa ini selepas PKR mengumumkan tidak akan mengambil tindakan terhadapnya melainkan polis mengesahkan beliau sebagai individu dalam video itu.

Sumber PKR berkata Azmin masih mempunyai ramai sokongan dalam parti terutamanya dalam kalangan ketua cabang PKR.
Pada pemilihan parti 2018, Azmin memperoleh 51.03% daripada 141,000 undi untuk mengekalkan jawatannya dan menyingkirkan pencabarnya, Rafizi Ramli.
“Namun ramai ketua cabang yang sebelum ini menyokong Azmin, membisu sejak polis mengesahkan video itu tulen.
“Mereka mengambil sikap tunggu dan lihat, dan lebih selamat untuk mendiamkan diri,” kata sumber parti. – 22 Julai, 2019.
Komen