Azmin tetap enggan hadir pemukiman, kata Saifuddin


Zaim Ibrahim

Walau berkali-kali dipujuk, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali tetap enggan hadir ke pemukiman parti di Port Dickson, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Julai, 2019.

WALAU berkali-kali dipujuk, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali tetap enggan hadir ke pemukiman parti di Port Dickson, kata setiausaha agung parti itu Saifuddin Nasution.

Katanya, setiausaha agung Azmin memberitahunya bahawa menteri itu bertegas untuk memenuhi komitmen lain.

“Mengenai kes Azmin, saya berhubung dengan setiausaha dan pegawainya, cuba sebaiknya untuk (pujuk) beliau hadir, tapi malangnya gagal.

“Kali terakhir berhubung (dengan Azmin) ialah Jumaat lalu, ketika sesi pertama pemukiman berlangsung yang mana saya bercakap dengan setiausahanya.

“Saya sudah buat yang terbaik, beri notis dan hubungi pejabatnya tapi beliau kata ada komitmen lain,” kata beliau kepada pemberita selepas pemukiman PKR petang ini. 

 

Tambah Saifuddin, beliau akan memberikan hasil temu rapat tiga hari dua malam di Port Dickson itu kepada Azmin dalam mesyuarat biro politik dan Majlis Pimpina Pusat akan datang.

“Apa-apa hasil daripada temu rapat ini saya sememangnya akan diberikan kepada biro politik dan MPP. Azmin adalah ahli biro politik dan MPP,” katanya.

Azmin tidak hadir pada malam semalam walaupun dijadual menyampaikan ucapan sebagai timbalan presiden PKR. 

Dua naib presiden PKR juga dilihat tidak hadir pada malam semalam, iaitu Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju, sama seperti pada malam perasmian sebelumnya.

Minggu lalu, dua pemimpin PKR itu menyerang Anwar kerana meminta Azmin meletak jawatan sekiranya didapati terlibat dalam skandal video seks

Ketua Wanita Haniza Talha dan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian juga tidak hadir.

Seramai 120 orang pemimpin kanan parti yang hadir ke pemukiman hari ini bagaimanapun memberi sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim untuk memimpin parti.

Mereka mahu Anwar memimpin PKR untuk jadi tonggak Pakatan Harapan selain bertekad memastikan janji pilihan raya terlaksana.– 21 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen