KALANGAN pemimpin PKR percaya ketegangan di antara presiden parti Anwar Ibrahim dan timbalannya Azmin Ali di tahap kritikal tapi masih dapat diredakan dengan cara baik.
Mereka berharap, kedua-duanya akan dapat menerima saranan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyelesaikan pertelingkahan yang sudahpun berlarutan beberapa bulan itu.
Salah seorang daripadanya Senator Yusmadi Yusoff yang berpandangan, semangat reformasi perlu dijadikan sebagai ubat untuk menyelesaikan kemelut tersebut.
“Benar, kita ada isu tetapi ia perlu ditangani dengan reformasi, dengan kedaulatan undang-undang. PKR jangan goyang (dengan apa-apa isu) kerana kita pegang kepada reformasi,” jelasnya.
Ia merujuk kepada gelombang sokongan ke atas Anwar ketika bekas timbalan perdana menteri itu dilucutkan jawatan tersebut, 20 tahun lalu ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri keempat.
Gelombang sokongan itu mengangkat isu reformasi ke atas undang-undang dan pentadbiran negara kerana Anwar didakwa dianiaya dengan tuduhan liwat dan salah guna kuasa yang diada-adakan.
Kini, Azmin pula mendakwa diserang dengan tuduhan sama melalui penyebaran video seks didakwa memaparkan menteri hal ehwal ekonomi tersebut.
Bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku sebagai individu dalam video berkenaan kini disiasat polis bersabit dengan pembikinan dan sebaran video berkenaan.

Seramai 11 orang ditahan dan disiasat polis setakan ini berhubung kes itu, termasuk setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Farhash Rizal Mubarak.
Azmin yang menafikan tuduhan berkenaan mendakwa terdapat pihak tertentu dalam parti yang mendalangi penyebaran berkenaan dan polis turut mengesyaki perkara sama.
Dalam kes Azmin, parti dikuasai Anwar itu menyatakan pendirian agar timbalan presiden parti itu bercuti sementara kes berkenaan disiasat oleh polis.
Keretakan dalam parti itu semakin menyerlah pada Rabu lalu apabila Anwar menyatakan Azmin perlu meletak jawatan sekiranya tuduhan seks tersebut didapati benar.
Azmin dan para penyokongnya juga tidak hadir dalam dalam pemukiman parti pada malam tadi yang turut menampilkan Dr Mahathir untuk memberi amanat kepada pemimpin parti.
Antara lainnya, Dr Mahathir menggesa pemimpin PKR supaya tidak bergaduh sesama sendiri kerana bimbang ia akan meruntuhkan gabungan parti Pakatan Harapan (PH).
Mengulas perkara itu, Yusmadi berkata nasihat bekas seteru mereka itu, yang kini memimpin PH, perlu diikuti demi menjaga keutuhan gabungan parti dan pentadbiran kerajaan.
“Dulu kita lawan dia hari ini kita dengar nasihat dia. Beliau mahu kita sedar, gabungan parti politik akan berpecah jika pendukung parti iaitu PKR tidak kuat,” ujar beliau.
Jelas beliau, isu Anwar-Azmin boleh menyebabkan perpecahan dalaman jika anggota parti memainkan isu tersebut untuk kuasa atau pangkat.
“Kita boleh gerak ke depan dengan isu kritikal tetapi melalui institusi reformasi. Bukan kerana kuasa dan pangkat,” katanya lagi.)
__full.jpg)
Ketua Cabang PKR Shah Alam, Yaakob Sapari juga berpandangan, perbalahan kedua-dua pemimpin itu perlu dihentikan segara seperti yang diucapkan Dr Mahathir semalam.
Katanya beliau berpengalaman menentang Dr Mahathir, dua dekad lalu, namun berpendapat nasihat perdana menteri itu kini perlu diambil serius demi kebaikan PKR.
Perseteruan antara pemimpin parti dalam pemilihan tahun lalu juga tidak harus diteruskan, katanya, mengulas mengenai pertandingan yang amat menjejaskan PKR.
Pemilihan itu menyaksikan kewujudan kem yang jelas apabila ramai calon mengumumkan diri mereka dalam pasukan Azmin atau pencabarnya Rafizi Ramli.
Sewaktu pembentukan kerajaan pada Mei lalu, Azmin membantah keputusan Pakatan Harapan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri, kerana pada waktu itu Anwar masih lagi dipenjara.
Namun menurut Yaakob, perseteruan yang timbul ekoran pemilihan itu tidak harus lagi berpanjangan dan Azmin juga perlu menerima Anwar sebagai perdana menteri kelapan.
“Kalau kita hendak maju jangan ungkit yang lepas-lepas. Anda mesti mempunyai perancangan untuk negara.
“Pemilihan parti sudah habis dan ahli pun sudah buat keputusan. Kami terima Azmin sebagai timbalan presiden dan beliau perlu terima presiden parti, Anwar sebagai perdana menteri selepas Tun M,” jelasnya.
Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran turut yakin bahawa isu Azmin-Anwar boleh diselesaikan dengan cara yang baik dan presiden parti itu perlu menasihati parti ke arah perdamaian tersebut.
“Saya yakin kepimpinan parti boleh atasi isu ini. Bagi saya, presiden berhak beri nasihat kepada ahli-ahli dia,” jelasnya. – 20 Julai, 2019.
Komen