Hassan Karim tidak mahu PKR dan Istana Johor berkelahi, kata Anwar


Zaim Ibrahim

Jelas Anwar, Hassan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang menyerahkan surat perletakan jawatannya daripada teraju parti negeri tiga minggu lalu, sebelum isu pertikaian kepimpinan parti timbul. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Julai, 2019.

Pengerusi PKR Johor Hassan Karim mahu letak jawatan kerana ingin mengelakkan parti daripada bertelagah dengan pihak Istana Johor, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Hassan juga mahu berundur kerana pelantikannya sebagai ketua di Johor tidak mendapat persetujuan penuh daripada ahli parti negeri, tambah Anwar.

Jelas Anwar, Hassan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang menyerahkan surat perletakan jawatannya daripada teraju parti negeri tiga minggu lalu, sebelum isu pertikaian kepimpinan parti timbul.

“Salah satu sebabnya adalah ada bangkangan daripada ahli dan satu lagi bimbang dengan pendirian dia dan hubungan parti dengan Istana Johor. 

“Dia rasa dia akan jadi beban kepada parti. 

“Saya tidak setuju kenyataan itu dan kita tidak terima permohonan itu,” kata Anwar katanya pada sidang media di Port Dickson, selepas program temu rapat PKR untuk sesi petang tamat hari ini. 

Semalam, Hassan dilaporkan sudah menyerahkan surat perletakan jawatan kepada pucuk pimpinan parti.

Laporan Hassan letak jawatan muncul ketika pemimpin PKR negeri mula mengumumkan secara terbuka menyokong Anwar selepas 28 pimpinan dan wakil rakyat parti itu mula mempersoalkan kepimpinannya sebagai presiden.

Sehingga hari ini, hanya tiga pengerusi PKR negeri iaitu Selangor, Johor dan Sarawak yang belum menandatangani ikrar menyokong Anwar.

Ini kali kedua Hassan mahu melepaskan jawatan pengerusi negeri. 

Pada Disember tahun lalu, Hassan menolak pelantikannya sebagai ketua negeri namun kemudian menerima jawatan itu.

Hassan sebelum ini mempersoalkan penggunaan istilah “Bangsa Johor” yang baginya bertentangan dengan perpaduan nasional.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, hanya ada satu bangsa di negara ini, iaitu “Bangsa Malaysia” dan seterusnya mengingatkan bahawa Johor adalah sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia.

April lepas, beliau juga pernah berkata Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak mempunyai kuasa mengarahkan rombakan exco mesyuarat kerajaan negeri susulan perletakan jawatan menteri besar Osman Sapian. – 20 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen