PRESIDEN PKR, Anwar Ibrahim puas hati dengan siasatan polis setakat ini yang mendapati timbalannya, Mohamed Azmin Ali tidak terlibat seperti didakwa dalam rakaman seks dua lelaki yang tersebar baru-baru ini.
Anwar bagaimanapun menegaskan PKR akan bertindak tegas terhadap mana-mana ahli parti yang terlibat menyebarkan rakaman berkenaan.
“Terpulang kepada polis untuk terus menjalankan siasatan tetapi sebagai ahli dan presiden parti, kami gembira ketua polis negara kata ia adalah negatif (merujuk kepada Azmin).
“Hasil pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan,” katanya pada sidang media di Port Dickson, hari ini.
Anwar ditemui selepas program temu rapat PKR untuk sesi petang tamat sebentar tadi.
Ditanya adakah Azmin masih perlu mengambil cuti atau tidak, Anwar menjelaskan ia bergantung kepada siasatan lanjut polis.
“Saya boleh sahkan bahawa kita sebagai parti tidak akan buat apa-apa keputusan sehingga laporan itu selesai,” katanya.
Pada sidang media itu, Anwar membaca kenyataan media ringkas sebelum menjawab soalan wartawan.
Dalam kenyataannya juga, Anwar mengulangi pendirian PKR menolak politik jijik sekeras-kerasnya.

Kelmarin, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan siasatan polis mendapati rakaman seks yang tersebar adalah tulen tetapi sukar untuk mengaitkannya dengan mana-mana individu seperti didakwa.
Hamid juga berkata siasatan polis mendapati ada pakatan jahat yang didalangi pemimpin sebuah parti politik untuk menjatuhkan seseorang.
“Video yang disebarkan dengan tujuan membangkitkan kegusaran masyarakat tersebut telah dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Polis sejak Ahad lalu menahan 11 individu, termasuk dua yang ditahan semalam dan direman sehingga Selasa ini.
Polis juga hari ini mendapatkan lanjutan perintah tahanan reman ke atas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Farhash Rizal Mubarak, yang juga setiausaha politik Anwar.
Ditanya mengenai lanjutan reman itu, Anwar berkata siasatan masih berjalan dan berharap polis bersikap profesional.
“Siasatan polis masih berjalan dan saya katakan mereka kena buat siasatan dengan profesional dan ada pertanyaan mengenai lanjutan reman… saya harap polis kekal profesional dalam tugasan mereka,” katanya.
Selain Farhash, mahkamah juga membenarkan polis terus menahan Haziq Abdullah Abdul Aziz, bekas ahli PKR yang mengaku beliaulah lelaki dalam rakaman seks yang tersebar dan menuduh Azmin pasangan intimnya.
Azmin keras menafikan tuduhan dan menyifatkannya sebagai perancangan jahat untuk memusnahkan masa depan politiknya.
Minggu ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengulangi penegasannya bahawa penyebaran rakaman seks itu adalah gerakan politik mahu menjatuhkan Azmin. – 20 Julai, 2019.
Komen