Jho Low bantah keputusan mahkamah tinggi


Bede Hong

Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho telah membantah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang membenarkan RM49 juta dari tujuh akaun bank milik ayahnya Larry Low Hock Peng disita. – Gambar AFP, 19 Julai, 2019.

AHLI perniagaan dalam buruan Low Taek Jho telah membantah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang membenarkan RM49 juta dari tujuh akaun bank milik ayahnya Larry Low Hock Peng disita. 

Jurucakap bagi Low berkata pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad “menggunakan undang-undang rimba dalam usaha mencapai keuntungan politik.”

“Rampasan aset yang dikaitkan dengan Low adalah keputusan dari prosiding tidak sah yang dibawa oleh rejim Mahathir, di mana hasilnya telah ditetapkan dan bermotif politik, mengaburkan garis antara kuasa eksekutif dan kehakiman.

“Rampasan ini, seperti percubaan rejim Mahathir baru-baru ini untuk merampas rumah keluarga Low yang dimiliki selama 20 tahun, terus menunjukkan strategi memalukan rejim itu dan kesanggupan untuk meninggalkan prosedur yang betul.

Kenyataan itu menambah, dengan rating penilaian yang semakin menurun, rejim Mahathir tidak memenuhi janji-janjinya berkenaan dengan hak asasi manusia atau kedaulatan undang-undang.

“Bukti yang jelas, tidak mungkin ada perbicaraan yang adil di Malaysia di mana berat sebelah berlaku dan kuasa serta politik mengatasi hak serta kebebasan,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan rampasan lebih RM48 juta daripada akaun bank bapa Low Taek Jho, Larry Low.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan untuk memihak kepada timbalan pendakwa raya Aaron Chelliah setelah tiada pihak ketiga menuntut aset berkenaan.

Larry tidak hadir pada prosiding mahkamah pagi ini, walaupun waran tangkap dikeluarkan terhadap beliau. 

Terdahulu timbalan pendakwa raya itu memaklumkan Larry Low sehingga kini tidak dapat dikesan pihak berkuasa.

Polis juga menuntut anaknya Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low untuk disoal siasat berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pada 29 Mac lalu kerajaan selaku pemohon memfailkan notis usul dan afidavit lucut hak ke atas tujuh akaun bank milik Larry bernilai RM48.9 juta yang dikatakan berkait dengan kegiatan pengubahan wang haram. – 19 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen