MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rampasan lebih RM48 juta daripada akaun bank bapa Low Taek Jho, Larry Low.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan untuk memihak kepada timbalan pendakwa raya Aaron Chelliah setelah tiada pihak ketiga menuntut aset berkenaan.
Larry tidak hadir pada prosiding mahkamah pagi ini.
Terdahulu timbalan pendakwa raya itu memaklumkan Larry Low sehingga kini tidak dapat dikesan pihak berkuasa.
Polis juga menuntut anaknya Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low untuk disoal siasat berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Pada 29 Mac lalu kerajaan selaku pemohon memfailkan notis usul dan afidavit lucut hak ke atas tujuh akaun bank milik Larry bernilai RM48.9 juta yang dikatakan berkait dengan kegiatan pengubahan wang haram.
Low berkata, langkah kerajaan membekukan akaun akaun bapanya adalah hasil dari “penganiayaan politik” dan gangguan oleh kerajaan diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad terhadap keluarganya.
“Sekali lagi rejim Mahathir telah mengabaikan kedaulatan undang-undang dan dalam penyalahgunaan kuasa yang jelas sedang berusaha mengeksploitasi Pejabat Peguam Negara serta pasukan polis untuk menyerang lawan,” kata jurucakap Taek Jho dalam satu kenyataan pada 30 Mac. – 19 Julai, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen