KEMELUT terbaru PKR yang merupakan dugaan terbesar membadai parti itu adalah sebab kukuh untuk menangguhkan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim, kata penganalisis.
Ini adalah kerana kemelut dalaman PKR itu kini memaksa hampir separuh pemimpin kanannya secara terbuka memilih antara Anwar, presiden parti dan Timbalannya Azmin Ali.
Semalam, 28 pemimpin kanan PKR menandatangani kenyataan bersama mengecam Anwar kerana tidak menyokong Azmin dalam skandal video seks yang dikaitkan dengan menteri hal ehwal ekonomi itu.
Perpecahan kepimpinan parti yang berlaku kini adalah petanda jelas bahawa Anwar, yang dianggap perdana menteri seterusnya akan hilang sokongan penuh partinya sendiri, kata pakar sains politik Dr Mazlan Ali.
Sokongan penuh parti politik, menurut Mazlan, adalah mustahak untuk seorang perdana menteri dalam sistem demokrasi berparlimen seperti diamalkan di Malaysia.
Bagaimanapun, beberapa pakar sains politik lain berkata penangguhan peralihan kuasa berdepan risiko kecaman rakyat disebabkan kajian terbaru menunjukkan 75% rakyat Malaysia percaya Dr Mahathir tidak sepatutnya menjadi perdana menteri lebih daripada dua tahun.
Kajian itu dilakukan pada 28 hingga 30 Jun, ketika itu, krisis dalaman PKR dan skandal video seks itu sudah diketahui umum.

Prof Mohammad Redzuan Othman, yang menerajui institut melakukan kajian itu, berbeza pandangan daripada penganalisis lain. Beliau merasakan kemelut Anwar-Azmin bukanlah sebab kukuh untuk menangguhkan peralihan kuasa.
“Sentiasa akan ada krisis dalaman dalam mana-mana parti politik. Adakah anda hendak kata tidak ada krisis dalam Bersatu atau DAP?” kata Redzuan merujuk kepada parti komponen dalam Pakatan Harapan.
“Malah dalam Umno, parti yang sudah hilang kuasa, juga wujud konflik,” kata Redzuan daripada Institut Darul Ehsan (IDE).
“Tetapi peralihan itu perlu berlaku dalam tempoh dua tahun kerana itu yang dijanjikan Dr Mahathir,” katanya lagi.
“Berdasarkan janji itulah DAP, PKR, Amanah dan Anwar sendiri bersetuju memilih Dr Mahathir sebagai perdana menteri PH.”

Skandal yang direka
Kemelut dalaman PKR bertambah buruk apabila Anwar pada Selasa berkata Azmin perlu berundur sekiranya video dua lelaki melakukan hubungan intim dikaitkan dengan dirinya terbukti benar dan sahih.
Bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz sudah mengakui beliau adalah pelaku dalam video tular itu, dan mendakwa seorang lagi pelaku adalah Azmin.
Semalam, polis mengesahkan video seks dikaitkan dengan menteri itu adalah tulen, tetapi menambah hasil keputusan pengesahan wajah bagaimanapun negatif dan sukar mengaitkannya dengan mana-mana individu.
Mengulas kenyataan “berundur” Anwar, Azmin menyerang balas, meminta bekas mentornya itu supaya “tengok cermin”.
Ia merujuk kepada pertuduhan silam ke atas Anwar berkaitan salah laku seksual apabila beliau dituduh meliwat dua bekas pembantunya dan melakukan hubungan seks dengan wanita warga asing.

Kenyataan kecaman dikeluarkan 28 pemimpin kanan PKR, kata Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia, membuktikan PKR seperti retak menanti belah.
“Retak hanya dalam kalangan pemimpin tertinggi, kita tak nampak lagi apa-apa di peringkat akar umbi,” katanya yang merupakan pensyarah kanan Fakulti Teknologi dan Infomatik UTM.
Tetapi, krisis itu cukup untuk dijadikan alasan membolehkan Dr Mahathir kekal lebih lama sebagai perdana menteri, kata seorang lagi pakar sains politik Prof James Chin dari University of Tasmania.
“Ini akan memberikan Tun (Dr Mahathir) sebab tambahan mengapa beliau tidak boleh berundur. Anwar juga tidak boleh mendesak (untuk ambil alih) memandangkan beliau tidak boleh menyatukan partinya,” kata Chin yang menerajui Institut Asia universitinya.

Mazlan dari UTM pula menambah yang kenyataan Dr Mahathir sejak dua bulan lepas menunjukkan negarawan berusia 94 tahun itu sedang mempertimbangkan semula rancangannya untuk berundur selepas dua tahun.
“Baru-baru beliau kata tidak akan mentadbir lebih tiga tahun dan beliau juga kata tidak akan berundur sehinggalah wujud kestabilan politik di Malaysia,” katanya.
“Ada kemungkinan yang Dr Mahathir mungkin mempertimbangkan penangguhan peralihan kuasa sehinggalah PKR menyelesaikan masalah dalamannya. Dr Mahathir pernah kata kestabilan politik adalah kunci”
Redzuan dari IDE, bagaimanapun, masih belum percaya yang krisis PKR adalah sebab kukuh untuk menangguhkan peralihan kuasa kerana wujud kepercayaan skandal terbaru itu dirancang.
“Di media sosial, rakyat kata skandal itu direka hanya untuk melemahkan PKR.”
Kerana itulah, krisis itu tidak boleh dijadikan sebab penangguhan peralihan kuasa, tambah Redzuan.– 19 Julai, 2019.
Komen