Kementerian Sumber Manusia tunggu laporan pampasan VSS Utusan


Zaim Ibrahim

Pemegang amanah skim pemberhentian sukarela (VSS) Kumpulan Utusan Melayu Berhad dikehendaki memberi laporan lengkap kepada Kementerian Sumber Manusia isu kelewatan pembayaran pampasan yang ditetapkan mengikut perjanjian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2019.

TIMBALAN Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar mahu jawatankuasa pemegang amanah skim pemberhentian sukarela (VSS) Kumpulan Utusan Melayu Berhad memberi laporan lengkap kepada kementeriannya isu kelewatan pembayaran pampasan yang ditetapkan mengikut perjanjian.

Menurut Mahfuz, beliau kesal dengan pelanggaran perjanjian VSS yang berlaku kerana ia dipersetujui dan ditandatangani di hadapannya sendiri.

“Utusan perlu pegang kepada janji mereka kepada pekerja-pekerja yang pilih tawaran VSS.

“Pihak jawatankuasa perlu laporkan secara rasmi kepada kementerian dan lihat apa masalah dan tindakan boleh diambil,” katanya kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui di lobi Parlimen, minggu ini.

Perjanjian itu antara lain menetapkan pampasan pemberhentian hampir 800 bekas kakitangan Utusan dibayar secara ansuran selama 12 bulan bermula Disember 2018.

Bagaimanapun Utusan mungkir perjanjian sejak ansuran pertama lagi apabila membayar lewat daripada jadual yang ditetapkan serta rendah pula daripada kadar yang sepatutnya. Alasannya, syarikat berdepan masalah kewangan di luar jangka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar kesal dengan pelanggaran perjanjian VSS yang berlaku kerana ia dipersetujui dan ditandatangani di hadapannya sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2019.

Jawatankuasa pemegang amanah yang disebut oleh Mahfuz mempunyai lapan anggota terdiri daripada wakil empat kesatuan sekerja kakitangan Utusan serta wakil kakitangan eksekutif dan pengurusan atasan, semuanya yang mengambil VSS.

Jelas Mahfuz, jawatankuasa tersebut wajar mengambil tindakan undang-undang jika rasa dianiaya oleh Utusan.

“Kalau ada kelewatan (bayaran pampasan) ia terpulang kepada pihak mereka untuk ambil tindakan undang-undang. Kita (kementerian) pun tunggu jika ada laporan rasmi,” jelasnya.

Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan, bekas kakitangan Utusan masih belum menerima bayaran ansuran VSS mengikut jadual, yang sepatutnya berakhir November ini.

Bekas kakitangan yang mengambil VSS memberitahu mereka menerima bayaran hanya RM1,000 sejak Mei lalu.

The Malaysian Insight difahamkan isu pembayaran timbul kerana Utusan menghadapi masalah tunai yang belum diperolehi daripada hasil jualan aset untuk menampung pembayaran pampasan VSS.

Sumber memberitahu bahawa daripada jumlah keseluruhan RM85 juta yang perlu dibayar, Utusan masih terhutang dengan bekas kakitangannya kira-kira RM64 juta.

Jualan aset itu mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan Utusan ingin menjual 26 asetnya untuk menjana pendapatan tunai lebih RM118 juta.

Utusan menawarkan VSS kepada kakitangannya tahun lalu untuk mengurangkan separuh tenaga kerja ekoran tidak lagi mampu menampung kerugian dan kos operasi yang tinggi.

Pada Februari lepas, Umno melepaskan 31.6% pegangannya dalam syarikat kepada kepada Opulence Asia Sdn Bhd.

Opulence Asia ialah syarikat milik penuh Pengerusi Eksekutif Utusan, Abd Aziz Sheikh Fadzir. – 19 Julai, 2019.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen