PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengulangi keyakinannya bahawa tuduhan skandal seks terhadap Mohamed Azmin Ali adalah konspirasi politik mahu menjatuhkan menteri itu.
Katanya, beliau tidak melihat penyebaran rakaman seks yang dituduh melibatkan Azmin itu sebagai jenayah semata-mata sebaliknya juga satu gerakan politik.
“Saya nampak ini satu gerakan politik bukan jenayah.
“Jenayahnya adalah ada pakatan untuk menjatuhkan Azmin,” kata Dr Mahathir kepada wartawan di lobi Parlimen, hari ini.
Jelas Perdana Menteri, orang yang buat salah biasanya akan bersembunyi tetapi tidak dengan Haziq Abdullah Abdul Aziz yang tampil mendedahkannya kepada umum.
“Itu kita hairanlah. Biasanya orang yang macam itu nak sembunyi, dia malulah… tetapi ini tidak malu,” katanya, merujuk kepada pengakuan Haziq mengenai rakaman seks yang tersebar lima minggu lalu itu.
Awal hari ini, Dr Mahathir berkata terserah pada Azmin sama ada mahu bercuti atau terus bekerja kerana seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan kesalahannya.
Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan yang menyusul berkata Azmin perlu letak jawatan jika rakaman seks itu terbukti sahih melibatkannya.
Azmin dalam reaksi segera petang ini menyarankan Anwar supaya muhasabah dirinya dahulu.
“Tengok mulut saya, beritahu dia, tengok cermin.
“Suruh Anwar untuk muhasabah, tengok cermin muka dia dahulu,” kata Azmin kepada wartawan di lobi Parlimen.
Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan seorang individu lagi ditahan reman empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.
Farhash adalah juga setiausaha politik kepada Anwar.
Anwar dalam ulasannya terhadap penahanan setiausaha politiknya itu berkata beliau terkejut dengan berita itu.
Siasatan polis setakat ini menunjukkan ada konspirasi melibatkan pemimpin PKR sendiri yang mahu menjatuhkan Azmin, yang juga timbalan presiden parti. – 17 Julai, 2019
Komen