TIADA tindakan disiplin ke atas Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana pandangan mereka mengkritik pelantikan Najib Razak sebagai pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional, kata Annuar Musa.
Setiausaha agung Umno itu menolak desas-desus mereka akan dipecat dari parti.
“Saya rasa… lebih pada Nazri, bukan sangat KJ (Khairy). Saya rasa ini kenyataan peribadi. Itu pandangan dia. Kalau kita tanya orang lain, mereka akan ada pandangan lain.
“Jadi kita putuskan tidak ada salahnya ahli suarakan pandangan mereka. Ini bukan macam masalah disiplin. Ini semata-mata pandangan peribadi dan dia ada hak (atas pandangannya).
“Memberi pandangan bukan isu disiplin. Saya tidak tahu siapa yang bangkitkan soal pecat dan sebagainya,” kata Annuar kepada wartawan di lobi Parlimen.
Nazri dan Khairy sejak beberapa hari lalu membuat kenyataan mengkritik pelantikan Najib Razak sebagai pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pelantikan itu untuk membantu BN menang pilihan raya umum yang akan datang.
Nazri bagaimanapun menyifatkannya sebagai langkah ke belakang untuk parti, manakala Khairy menganggap pelantikan itu “kerja gila” kerana membuat perkara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.
Ditanya adakah ahli parti setuju dengan keputusan melantik Najib sebagai penasihat BN, Annuar berkata ia keputusan pentadbiran.
“Sudah tentu. Ia dipersetujui semasa mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Ia keputusan konsensus. Pelantikan dibuat mengikut prosedur biasa,” katanya.
Jelas beliau, pelantikan Najib juga tidak melibatkan soal perlembagaan parti.
“Mungkin Zahid dan presiden komponen lain rasa itu peranan yang boleh mereka beri,” kata Annuar. – 15 Julai, 2019
Komen