MoF tak beri arahan sita RM1 bilion daripada syarikat China, kata Guan Eng


Chan Kok Leong

Kementerian Kewangan tidak mengarahkan apa-apa arahan penyitaan. Jadi, jika ada mana-mana arahan sita, awak perlu rujuk kepada agensi penguatkuasaan, kata Menteri Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2019.

KEMENTERIAN Kewangan (MoF) menafikan ia meminta bank menyita RM1 bilion daripada China Petroleum Pipeline Engineering Ltd (CPP), kata Lim Guan Eng.

“Kementerian Kewangan tidak mengarahkan apa-apa arahan penyitaan. Jadi, jika ada mana-mana arahan sita, awak perlu rujuk kepada agensi penguatkuasaan.

“Itu sahaja saya boleh kata ketika ini,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Akhbar Straits Times pada Ahad melaporkan yang Putrajaya menyita lebih RM1 bilion daripada syarikat milik China itu.

Laporan menyebut yang Putrajaya mengarahkan bank HSBC memindahkan dana dalam akaun CPP di Malaysia kepada Suria Strategic Resources Sdn Bhd.

Suria adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

Memetik sumber, laporan menyebut yang tindakan itu ada kaitan dengan pertikaian dua projek paip tenaga bernilai ratusan juta yang digantung pada Julai tahun lepas berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Selain akaun HSBC, akaun CPP di bank lain juga dibekukan Putrajaya.

CPP yang dianugerahkan kontrak sebagai kontraktor utama projek berkenaan pada November 2016 oleh kerajaan Barisan Nasional. – 15 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen