PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemimpin Umno yang mengkritik pelantikan Najib Razak sebagai penasihat Barisan Nasional sebagai gila talak, kerana tidak mahu menerima hakikat kalah dalam perebutan jawatan presiden Umno.
Mengulangi kenyataannya, Zahid berkata pelantikan Najib itu atas faktor kelebihan yang ada pada bekas presiden Umno.
“Kita harus gunakan siapa yang jadi pemimpin bersama dengan kita. Kita harus akui Najib ada kelebihan, begitu juga Tengku Razaleigh ada kelebihan, kenapa kita kena pinggirkan?
“Kecuali (mereka) yang kalah tetapi macam gila talak.
“Orang itu bertanding jawatan presiden Umno tapi tak mahu terima hakikat (kalah) itu yang menyalak sana menyalak sini. Saya tak sentuhlah sama ada orang itu hidup atau mati,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Tangga Batu, Melaka malam tadi.
Biarpun tidak menamakan pemimpin tersebut, tetapi sindiran itu jelas merujuk kepada bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Khairy pernah bertanding merebut jawatan presiden dalam pemilihan Umno tahun lepas tetapi kalah kepada Zahid.
Kata Zahid lagi, pemimpin berkenaan boleh lagi merebut jawatan presiden pada pemilihan akan datang.
Tambahnya, jika beliau masih menang sebagai presiden maka pemimpin tersebut perlu akur dan menerima kemenangannya.
“Tapi akuilah hakikat tahun 2021 ini pertandingan untuk Umno, terbuka lawanlah jawatan presiden. Kalau saya menang hormatlah saya, kalau dia menang saya hormatlah juga. Bukan jadi macam dia.”
Zahid juga mengulas kritikan bekas setiausaha BN Nazri Aziz terhadap pelantikan Najib.
Namun, beliau yakin kritikan Nazri itu tidak bermaksud untuk menentangnya.
“Tak apalah Nazri seperti adik beradik saya. Saya tak terfikir beliau maksud begitu, tapi apa salahnya kita merangkumkan pemimpin terdahulu bersama dengan kita,” katanya.
Khairy dan Nazri adalah antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik pelantikan Najib sebagai penasihat BN.
Nazri dalam kenyataannya berkata tindakan melantik Najib sebagai langkah regresif parti.
Manakala Khairy berkata secara terbuka menyatakan beliau tidak gembira dengan pelantikan itu. – 14 Julai, 2019.
Komen