PEGUAM kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock, Ramkarpal Singh berkata akan berjumpa dengan Peguam Negara, Tommy Thomas dalam tempoh seminggu.
Perjumpaan itu bagi mendapatkan penjelasan tentang penyebab kematian Teoh Beng Bock yang disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan bukannnya mengikut Seksyen 304 bagi kesalahan bagi membunuh.
“Kami akan berjumpa dengan AG (peguam negara) dalam tempoh seminggu,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas Majlis Memperingati Teoh Beng Hock, “10 years, Silent No More” di Shah Alam malam tadi.
Sebelum itu, adik mendiang, Teoh Lee Lan turut menuntut penjelasan daripada kerajaan mengapa siasatan kes kematian itu ditukar kepada Seksyen 342 Kanun Keseksaan.
“Kerajaan kononnya membuka siasatan semula tetapi melalui Seksyen 342 Kanun Keseksaan.
Tempoh penjara paling lama jika pelaku didapati bersalah hanya setahun, ini tidak adil dan tidak boleh diterima,” katanya.
Seksyen 342 ialah kesalahan berkaitan mengurung seseorang secara salah dan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Seksyen 302 pula ialah kesalahan bagi membunuh dan undang-undang negara ini menetapkan pesalah dikenakan hukuman mati.
Ia bertentangan dengan penghakiman Mahkamah Rayuan pada 2014 yang memutuskan seorang atau lebih individu tidak dikenali - termasuk kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - terlibat dalam kematian Teoh.

Beliau juga berharap pertemuan dengan Peguam Negara dapat disegerakan kerana tempoh 10 tahun ini terlalu berat untuk dihadapi oleh keluarganya.
“Kita sememangnya tertunggu-tunggu untuk berjumpa dengan beliau dan berharap media boleh membawa harapan dan suara kami. Kami tiada masa untuk tunggu 10 tahun lagi,” katanya.
Ketika memberi ucapan dalam majlis itu, Teoh kecewa kerana kerajaan Pakatan Harapan dilihat tidak serius mencari keadilan terhadap kematian abangnya.
“Kepada anda yang tiada sebarang kuasa 10 tahun lepas, anda sering bersuara siapakah pembunuh Teoh Beng Hock. Anda berkata tiada kuasa politik untuk beri tekanan kepada kerajaa.
Tetapi kini ada sudah menjadi kerajaan, bila lagi harus kami tunggu?” soalnya di hadapan hampir 100 hadirin.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor memberitahu bahawa polis tidak dapat memberi komen lanjut mengenai mengapa siasatan semula itu tidak dilaksanakan di bawah Seksyen 304, kerana ia adalah arahan Peguam Negara.
Teoh ditemui mati selepas jatuh dari tingkap sembilan bangunan yang menempatkan Ibu Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam pada 16 Julai 2009.
Pada awalnya beliau ditahan semalaman untuk disoal siasat berhubung salah guna kuasa
Beliau merupakan pembantu politik kepada Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah pada waktu itu. – 13 Julai, 2019.
Komen