Siasatan semula kes Teoh Beng Hock, polis ikut arahan Jabatan Peguam Negara


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor berkata, polis hanya mengikut arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menyiasat semula kematian Teoh Beng Hock di bawah kes pengurungan salah berbanding kes homisid berhubung kematiannya pada 2009. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2019.

POLIS hanya mengikut arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menyiasat semula kematian Teoh Beng Hock di bawah kes pengurungan salah berbanding kes homisid berhubung kematiannya pada 2009.

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor memberitahu pemberita hari ini bahawa polis tidak dapat memberi komen lanjut mengenai mengapa siasatan semula itu tidak dilaksanakan di bawah Seksyen 304.

“Saya tidak dapat memberi komen mengenai apa yang telah diputuskan oleh pihak pendakwa.

“Kami menjalankan siasatan berdasarkan apa yang telah diputuskan oleh mereka,” katanya.

Semalam Pengerusi Teoh Beng Hock Trust For Democracy Ng Geok Chee mendedahkan polis telah membuka semula penyiasatan mereka terhadap kematian pembantu politik itu di bawah Seksyen 432 Kanun Keseksaan membabitkan kes pengurungan salah. 

Siasatan baharu ke atas kematian Teoh adalah salah satu janji Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Ke-14 (PRU14).  

Semalam, ahli Parlimen DAP Ramkarpal Singh berkata, siasatan lanjut mengenai kematian Teoh harus difokuskan kepada homosid dan bukannya pengurungan salah.

Beliau berkata, Peguam Negara Tommy Thomas perlu menjelaskan mengapa kes itu kini disiasat di bawah pengurungan salah.

“Adalah sangat mengecewakan kerana perkara itu kini disiasat kerana kesalahan lebih kecil iaitu pengurungan salah sedangkan Mahkamah Rayuan jelas menyatakan dalam penghakimannya terdapat bukti homosid melingkari kes kematian Teoh.

“Ini cukup untuk pihak berkuasa menjelaskan bagaimana perkara ini boleh timbul, terutama berdasarkan penemuan Mahkamah Rayuan terhadap kes Teoh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Jika Mahkamah Rayuan mendapati bukti homosid, bagaimana pula tidak Jabatan Peguam Negara?”

Ramkarpal, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata beliau akan menulis kepada Thomas bagi pihak keluarga Teoh untuk penjelasannya.

Mayat Teoh ditemui di atas bumbung sebuah bangunan di sebelah pejabat SPRM di Shah Alam di mana beliau telah disoal siasat atas dakwaan rasuah terhadap Adun Selangor. – 26 Jun 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen