Kesungguhan kerajaan jamin kebebasan akademik dipersoal pensyarah


Zaim Ibrahim

Ahli akademik bimbang dengan janji kerajaan di bawah Pakatan Harapan mahu menjamin kebebasan akademik selepas seorang pensyarah di sebuah universiti mendakwa tidak lagi dibenarkan menulis tentang isu politik yang sensitif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2019.

AHLI akademik bimbang dengan janji kerajaan di bawah Pakatan Harapan mahu menjamin kebebasan akademik selepas seorang pensyarah di sebuah universiti mendakwa tidak lagi dibenarkan menulis tentang isu politik yang sensitif.

Isnin lepas, Abdul Muein Abadi mendakwa beliau disekat oleh pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas kritikannya mengenai pengurusan kewangan negara oleh kerajaan ditegur penasihat media Perdana Menteri, A Kadir Jasin.

Naib Canselor UKM Mohd Hamdi Abdul Shukor bagaimanapun dipetik menafikan pihaknya mengeluarkan arahan tersebut kepada pensyarah berkenaan.

Episod itu membayangkan kerajaan seolah-olah tidak berpegang pada janjinya mahu menjamin kebebasan akademik, kata pensyarah di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) di UKM, Mohd Hariszuan Jaharudin.

Katanya, selepas peralihan kerajaan setahun lalu, lebih ramai ahli akademik semakin berani mengkritik kerajaan.

“Jadi, adalah langkah keterbelakang untuk kembali menyekat kebebasan yang dulunya diperjuangkan oleh PH sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Hariszuan, usaha menyekat ahli akademik daripada memberikan pandangan mereka mengenai politik adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Idea harus dilawan dengan idea. Jika tidak bersetuju, hanya perlu jawab dengan kemukakan hujah yang lebih baik. Bukannya mempersoalkan ideologi pensyarah tertentu,” katanya.

Polemik kebebasan akademik sekali lagi timbul apabila Kadir, blogger terkenal yang juga Tokoh Wartawan Negara 2011 mendakwa Abdul Muein menyebar maklumat palsu, tidak lengkap dan membuat kesimpulan songsang mengenai kerajaan PH.

Polemik kebebasan akademik sekali lagi timbul apabila Kadir, blogger terkenal yang juga Tokoh Wartawan Negara 2011 mendakwa Abdul Muein menyebar maklumat palsu, tidak lengkap dan membuat kesimpulan songsang mengenai kerajaan PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2019.

Abdul Muein, pensyarah sains politik di UKM, sebelum itu menulis sebuah rencana bertajuk “400 hari PH jual lebih RM20 bilion aset negara”, yang disiarkan termasuk di portal Umno Online.

Kadir mendakwa ada tangan ghaib di UKM yang cuba mensabotaj kerajaan dan meminta Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik supaya mengambil tindakan.

Abdul Muein menafikan ada “duri dalam daging” di UKM. Beliau malah mempertahankan tulisannya yang katanya merujuk laporan rasmi dan berkredibiliti.

Menurut Hariszuan, isu yang berbangkit antara Abdul Muein dan Kadir menghantar isyarat yang salah tentang sejauh mana kerajaan serius mahu menjadi kebebasan akademik.

Sementara itu, seorang lagi pensyarah di UKM, Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani berkata ahli akademik di bawah kerajaan sekarang lebih bebas untuk mengkritik kerajaan.

Pensyarah di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) itu memberi contoh dirinya sendiri yang sebelum ini selalu dipanggil dan diberi arahan supaya berhenti mengkritik kerajaan tetapi kini bebas untuk melontarkan sebarang kritikan.

“Saya kekal melawan pentadbiran terdahulu dan masih mengkritik pentadbiran sekarang, misalnya dalam isu kehilangan paksa dan usaha pemansuhan Akta Hasutan,” jelasnya.

Bagaimanapun kata Faisal, ada pentadbir universiti yang mahu menunjuk kuasa yang sesuka hati menukar sokongan politik mengikut kepentingan peribadi, yang beliau gelar sebagai “Little Napoleons”.

“Little Napoleons ini berleluasa. Dulu mereka pendukung Najib, sekarang mereka menukar warna kulit lagi.  Demi menjaga periuk nasi,” katanya merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang hilang kuasa selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Pensyarah di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) itu bagaimanapun tidak menjelaskan dengan khusus siapa yang beliau maksudkan sebagai “Little Napoleon” itu.

Selasa lalu, kumpulan akademik Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) membidas Kadir dan menyarankan ahli politik tidak terlibat dalam bidang akademik.

Gerak menyifatkan kenyataan Kadir sebagai cercaan kasar namun pada masa sama tidak begitu mempertahankan kandungan tulisan Abdul Muein yang mereka sifatkan tidak kuat serta ditulis tanpa konteks.

Pada Mei lalu, Maszlee menyenaraikan kebebasan akademik sebagai antara kejayaan kementeriannya setahun selepas PH jadi kerajaan. 

Pada Mei lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyenaraikan kebebasan akademik sebagai antara kejayaan kementeriannya setahun selepas PH jadi kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2019.

Antaranya termasuk pemansuhan Seksyen 15(2)(c) AUKU yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus, sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara serta berpolitik merupakan satu kejayaan oleh kementeriannya.

Bagaimanapun aktivis pelajar melihat perkembangan terbaru melibatkan Abdul Muein dan kerajaan minggu lalu membayangkan Maszlee belum berupaya membawa kebebasan akademik ke universiti.

Beliau membandingkan sikap Maszlee ketika UKM menyekat aktivis politik Hishamuddin Rais tahun lalu dengan cara beliau mengendalikan isu melibatkan Abdul Muein.

“Kenapa apabila libatkan Abdul Muein, Maszlee tak tegur naib canselor UKM seperti sebelum ini ditegur? Adakah sebab Hishamuddin sokong PH dan Abdul Muein berideologi PAS?” tanya bekas mahasiswa Asheeq Ali.

“Kalau Mazslee terus diam diri, maksudnya dia gagal dan tidak jujur untuk laksana kebebasan akademik,” katanya.

Presiden Mahasiswa Lestari dari Universiti Sains Malaysia (USM), Adam Malik Abdul Malek juga berpandangan hanya penyokong PH yang ada kebebasan bersuara tetapi tidak bagi yang mereka yang bertentangan sokongan politik.

Beliau memberi contoh kes empat pensyarah undang-undang yang dikritik kerana memberikan pandangan tidak selari dengan kerajaan mengenai kewajaran Malaysia menyertai perjanjian mengenai Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Mana suara ahli politik PH yang pertahankan kebebasan mereka?

“Kebebasan akademik perlu menyeluruh,” katanya. – 13 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen