SEKUMPULAN ahli akademik mencabar empat pensyarah universiti awam agar mempertahankan pendirian pada forum Statut Rom, selepas pembentangan mereka kepada Raja-Raja Melayu dipersalahkan sehingga membawa penarikan diri Putrajaya daripada perjanjian itu.
Awal bulan ini, aktivis pelajar membocorkan ringkasan eksekutif pembentangan oleh ahli akademik kepada Majlis Raja-Raja, yang berpendapat terdapat implikasi negatif, terutama bagi sistem raja berperlembagaan Malaysia sekiranya kerajaan menandatangani Statut Rom.
Pengkritik berkata pandangan dalam pembentangan kepada Raja-raja itu sangat condong ke arah penolakan Statut Rom.
Dalam satu kenyataan hari ini, sekumpulan ahli akademik mendesak empat pensyarah - Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Rahmat Mohamad; Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz; dan pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Fareed Mohd Hassan serta Hisham Hanapi - mempertahankan dan menjelaskan pandangan mereka di forum akhir bulan ini.
“Pada April, sembilan aktivis pelajar membocorkan kepada media dalam talian dan juga melalui media sosial suatu dokumen yang dikatakan menjadi Ringkasan Eksekutif pembentangan oleh empat ahli akademik kepada Majlis Raja-Raja,” kata Gerakan Akademik Malaysia (Gerak) dalam kenyataan.
“Sejak itu, kandungan Ringkasan Eksekutif diteliti dan dikritik secara umum oleh ahli akademik, peguam, dan juga para pelajar lain dan mereka tidak menentang kritikan ini.”
Kumpulan itu berkata bahawa empat pensyarah berkenaan tidak memberi respons terhadap kritikan dan gesaan mempertahankan pendirian mereka, mencetuskan kebimbangan mengenai integriti dan akauntabiliti akademik.
Forum Statut Rom, yang akan diadakan di Universiti Malaya pada Sabtu, 27 April, akan memberi peluang kepada ahli akademik untuk membahaskan isu tersebut.
“Pentas ini memang ditetapkan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran yang produktif. Dalam hal ini, Gerak, sebagai organisasi akademik yang prihatin terhadap integriti dan akauntabiliti akademik, menyeru kepada empat ahli akademik di atas, semua dari universiti awam yang dibiayai oleh pembayar cukai Malaysia untuk datang dan bercakap di forum umum ini, bagi membahaskan pendirian mereka.” – 20 April, 2019.
Berita penuh di sini
Komen