Pemilik lot Plaza Rakyat mahu unit dalam projek baharu


Noel Achariam

Projek Plaza Rakyat dihentikan sejak 20 tahun lalu akibat krisis kewangan 1997. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2019.

PEMILIK lot Plaza Rakyat yang tidak menerima pampasan untuk projek terbengkalai itu masih berharap mendapat unit baharu selepas projek terbengkalai lebih 20 tahun lalu diambil alih pemaju lain. 

Mereka berharap Kementerian Wilayah Persekutuan akan memudahkan pertemuan antara mereka dengan pemaju baharu, kata jurucakap jawatankuasa protes Plaza Rakyat Ng Pang Wah.

Ng memberitahu The Malaysian Insight bahawa terdapat lebih 60 pembeli yang masih menunggu unit mereka atau pampasan sewajarnya daripada pemaju.

“Kami masih mahu bercakap dengan pemaju baharu, kami akan gembira jika mereka boleh beri kami satu unit.

“Kami telah membayar untuk unit berkenaan dan matlamat utama kami adalah untuk memiliki lebih banyak lot di sana. Ini tujuan awal kami,” katanya.

Pemilik lot tersebut adalah mereka yang tidak mengambil pampasan ditawarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun baru-baru ini memberitahu The Malaysian Insight bahawa majoriti atau kira-kira 200 pemilik lot kedai di Plaza Rakyat yang terbengkalai sudah menerima pampasan daripada DBKL.

Mei lalu, syarikat berpangkalan di China, Guangzhou Xu Zhuo Enterprise Management Co Ltd berminat untuk membeli 43% saham dalam Profit Consortium Sdn Bhd, iaitu pemaju projek Plaza Rakyat.

Firma itu dilaporkan akan membayar hutang tertunggak daripada DBKL dan memulakan semula projek berkenaan.

Plaza Rakyat adalah pembangunan bercampur yang merangkumi menara pejabat 79 tingkat, blok kondominium 46 tingkat, hotel 24 tingkat dan pusat membelah belah tujuh tingkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2019.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, projek Plaza Rakyat diambil alih oleh sebuah konsortium baharu yang memuktamadkan pengambilalihannya pada akhir Mac.

“Mereka telah menghubungi DBKL untuk membayar jumlah yang tertunggak dan dijangka akan mula bekerja tidak lama lagi,” katanya.

Ng berkata, pemilik lain hanya akan mendapat pampasan sekiranya pemaju baharu tidak mahu memberi mereka unit.

“Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan. Kami telah menunggu bertahun-tahun dan kami harap dapat pampasan sewajarnya,” katanya.

Plaza Rakyat adalah pembangunan bercampur yang merangkumi menara pejabat 79 tingkat, blok kondominium 46 tingkat, hotel 24 tingkat dan pusat membelah belah tujuh tingkat.

Projek yang dibina di Jalan Pudu itu terbengkalai pada 1998 berikutan krisis kewangan Asia pada 1997.

Pada 2015, Profit Consortium menandatangani perjanjian jual beli dengan DBKL untuk mengambil alih tanah seluas 6.2 hektar bernilai RM740 juta.

Kumpulan itu memuktamadkan rancangan pembangunan projek pada 2017 dan memulakan kerja pembaikan.

Bagaimanapun disebabkan kesulitan membayar keperluan modal kerja, pembaikan dihentikan. – 12 Julai, 2019.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen