Kebanyakan pemilik lot Plaza Rakyat sudah terima pampasan, kata ahli Parlimen


Projek Plaza Rakyat dihentikan sejak 20 tahun lalu akibat krisis kewangan 1997. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2019.

KEBANYAKAN pemilik lot kedai di Plaza Rakyat yang terbengkalai telah menerima pampasan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Fong Kui Lun.

Ahli Parlimen Bukit Bintang itu berkata kira-kira 200 pemilik lot kedai yang telah melabur hampir RM30 juta ketika projek dilancarkan lebih 20 tahun lalu telah menerima bayaran masing-masing.

“Mereka ini adalah pemilik lot yang menerima bayaran balik daripada beberapa pihak yang cuba menghidupkan semula projek yang terbengkalai itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

DBKL katanya, telah menubuhkan dana untuk membantu pemilik-pemilik lot ini, dan 140 orang telahpun menerima bayaran pampasan.

Menurut Fong, ia berikutan sesetengah pemilik yang sudah hilang keyakinan ke atas projek tersebut.

“Bagaimanapun, masih ada yang mahu tengok dulu apa yang akan jadi dengan projek ini,” katanya. Terdapat juga pemilik lot yang tidak dapat dikesan, tambah Fong.

Beliau berkata mungkin ada pemilik yang tidak dapat dikesan ini sudah meninggal dunia atau berhijrah ke luar negara.

Laporan sebelum ini menyebut pemilik lot Plaza Rakyat kesal dengan DBKL kerana bersikap “lepas tangan” dan tidak lagi akan membantu mereka mendapatkan pampasan bagi projek yang tertangguh 20 tahun lalu.

DBKL berkata pemaju baru adalah pemilik tanah projek tersebut dan DBKL tidak mempunyai sebarang kewajipan undang-undang terhadap pemilik lot.

Fong mengesahkan terdapat usaha untuk menghidupkan semula projek Plaza Rakyat tetapi syarikat yang cuba berbuat demikian menghadapi masalah kewangan.

Ahli Parlimen DAP itu berkata apa yang beliau dengar, sebuah syarikat China kini cuba mengambil alih usaha meneruskan projek terbengkalai itu.

Mei lalu, syarikat berpangkalan di China, Guangzhou Xu Zhuo Enterprise Management Co Ltd berminat untuk embeli 43% saham dalam Profit Consortium Sdn Bhd, iaitu pemaju projek Pala Rakyat.

Guangzhou Xu Zhuo Enterprise juga dijangka akan membayar hutang tertunggak kepada DBKL dan meneruskan projek pembinaan. – 7 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen