Rayuan tangguh hukuman penjara Wan Ji didengar esok


Nabihah Hamid

Wan Ji Wan Hussin ditahan di Penjara Kajang sejak Selasa selepas Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Abdul Halim Aman menolak rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada April tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2019.

RAYUAN Wan Ji Wan Hussin untuk menangguhkan hukuman penjara ke atasnya kerana sabit kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam, esok.

Peguamnya, Radzlan Jalaluddin berkata pihaknya memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam, serentak dengan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman ke Mahkamah Rayuan.

“Kita mohon penangguhan pelakssanaan hukuman penjara kerana sudah memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Rayuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bekas penasihat agama Lim Guan Eng itu ditahan di Penjara Kajang sejak Selasa selepas Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Abdul Halim Aman menolak rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada April tahun lalu.

Wan Ji sebelum ini dikenakan hukuman penjara sembilan bulan selepas didapati bersalah atas tuduhan menghina Sultan Selangor, mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, melalui satu tulisannya di Facebook pada November 2012.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam bukan saja menolak rayuan Wan Ji tetapi menambahkan hukumannya untuk tiga bulan lagi, atas permintaan pihak pendakwaan.

Keputusan mahkamah itu mencetuskan kritikan banyak pihak, antaranya peguam, badan hak asasi termasuk Bersih 2.0 dan Suaram, serta pemimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Mereka mempertikaikan langkah pihak pendakwaan membuat rayuan silang ketika kerajaan di bawah PH sudah mengumumkan akta zalim itu akan dimansuhkan atau dipinda.

Mereka juga menggesa kerajaan segera memansuhkan akta tersebut.

Dalam keputusannya mengekalkan sabitan dan menambah hukuman, Hakim Abdul Halim berkata perbuatan Wan Ji “sudah terang lagi bersuluh” adalah satu penghinaan terhadap Sultan Selangor.

Beliau lalu memetik dua prinsip Rukunegara iaitu Kesetiaan Kepada Raja serta Kesopanan dan Kesusilaan untuk mendukung keputusannya.

“Ini satu tindakan yang melampaui batasan, kita kena ingat kepada prinsip Rukunegara iaitu kesetiaan kepada raja.

“Walaupun sebagai warga negara kita diberi banyak kebebasan, namun ia ada had dan ia masih tertakluk kepada undang-undang dan normal kehidupan. Jangan kita lupa satu lagi prinsip Rukunegara iaitu kesopanan dan kesusilaan,” katanya, seperti dilaporkan media.

Pada Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan masih membuat kajian mengenai pelaksanaan pemansuhannya.

Hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dipetik berkata kerajaan dalam proses menggubal rang undang-undang baharu untuk menggantikan Akta Hasutan. – 11 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen