KERAJAAN akan mengambil tindakan wajar berhubung isu projek penambakan laut di Pulau Pinang jika bantahan kumpulan nelayan dan aktivis alam sekitar mempunyai asas kukuh, kata Dr Mahathir Mohamad.
“Kita akan teliti bantahan mereka dan kemudian ambil tindakan yang sewajarnya,” kata perdana menteri kepada wartawan di Parlimen hari ini.
Beliau diminta mengulas protes kira-kira 200 nelayan dari Pulau Pinang dan Perak serta aktivis pengguna dan alam sekitar di luar Parlimen pagi ini.
Mereka bertindak mengadakan protes di Kuala Lumpur selepas bantahan selama ini tidak diendahkan oleh kerajaan Pulau Pinang.
Tambakan laut seluas 1,821 hektar itu akan menjejaskan mata pencarian lebih 10,000 orang yang bergantung pendapatan dengan hasil perikanan.
Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan itu melibatkan pembinaan tiga pulau buatan yang sebahagian kawasannya akan dijual secara komersial.

Hasil pendapatan daripada projek itu akan digunakan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk menampung projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM49 bilion. Pelan itu bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di bahagian pulau di negeri itu. – 11 Julai, 2019.
MENYUSUL
Komen