LEBIH kurang 200 nelayan dari Perak dan Pulau Pinang, bersama aktivis alam sekitar berhimpun di pintu masuk Parlimen hari ini bagi membantah projek tambakan laut melibatkan pembinaan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang.
Kesemua mereka yang berpakaian putih berhimpun di Tugu Negara bermula pukul 8 pagi, sebelum berarak ke Parlimen sambil menyanyikan lagu Negaraku kira-kira sejam kemudian.
Peserta himpunan itu juga turut membawa kain rentang dan sepanduk tertera perkataan “pemaju makan ikan, nelayan makam tulang”, “tolak tambak Pulau Pinang Selatan, “lautan adalah kehidupan”, dan “hentikan perlombongan pasir laluan penyu,” serta “reformasi bukan reklamasi”.
“Saya yakin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan projek Forest City kerana tidak bawa manfaat kepada rakyat tempatan, begitu juga projek ini,” kata Ketua Nelayan Pulau Pinang Nazri Ahmad.
Dalam ucapannya, Nazri berkata, mereka menolak projek itu kerana pembinaan tiga pulau buatan berkenaan tidak memberi kebaikan kepada mereka, bahkan menjejaskan sumber mata pencarian nelayan.
“Tiga pulau itu tidak beri manfaat kepada kami. Kami masyarakat yang setia dengan kerajaan, jangan jadikan kami pemberontak. Kita setia dengan kerajaan memerintah.
“Harimau di hutan kerajaan hormat tapi nelayan manusia kerajaan tak hormat, takkan kita setuju jika periuk nasi kita ditabur pasir. Kita umpama di Palestin, mudah ditabrak kerana kita ini miskin. Kita berkorban nyawa di lautan untuk sara anak dan isteri kita tapi ini pembalasan kerajaan,” kata Nazri dalam ucapannya.
Pengerusi Persatuan Nelayan Perak Mansor Yusof dalam ucapannya berkata, mereka turut membantah projek itu kerana pasir yang digunakan dikorek dari negeri itu dan menjejaskan kehidupan marin di perairan mereka.

“Aktiviti korek pasir akan ancam pendapatn kira-kira 9,000 nelayan. Bila ada pelombongan di laut, kesannya akan mengganggu ekosistem laut.
“Sekarang ikan kembung RM20 sekilogram, akan datang mungkin harga ikan kembung mencecah RM30 sekilogram.
“Bukan kita nak tunjuk perasaan tapi kita minta kerajaan prihatin nasib kita, mereka ini akan hilang sumber mata pencarian mereka,” katanya.
Mansor berkata, nelayan sepertinya tidak menolak pembangunan namun ia perlu dilakukan dengan cara yang lebih lestari.
“Sekiranya lantai laut diusik kita takut tsunami. Kawasan pantai barat bila-bila masa boleh dilanda tsunami. Nelayan adalah penduduk tepi pantai, jadi berisiko menjadi korban yang pertama. Kita minta pembangunan tidak mengorbankan perkara lain,” katanya lagi.
Memorandum mereka kemudian diserahkan kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik, yang merupakan ahli Parlimen Balik Pulau.
Seramai 13 wakil nelayan dan NGO kemudiannya dibenarkan memasuki bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Kumpulan berkenaan menyerahkan memorandum kepada beberapa kementerian, termasuk kepada Dr Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Lapan pihak lain ialah, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad; Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin; Menteri Air, Tanah, dan Sumber Asli Xavier Jayakumar; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub; dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun.
Antara isi kandungan tuntutan mereka adalah menggesa campur tangan kerajaan persekutuan terhadap projek tersebut.
Menurut mereka, proses laporan penilaian kesan kepada alam sekitar (EIA) projek tambakan laut oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga bersikap autokratik dengan mengabaikan bantahan dan pandangan awam.
Mereka turut menjelaskan, gambaran “penerimaan” segelintir nelayan terhadap projek berkenaan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang adalah daripada kelompok nelayan yang sudah bersara dan separuh masa, sedangkan projek berkenaan akan menjejaskan 10,000 nelayan sepenuh masa.
Selain itu, mereka turut membangkitkan aktiviti mengorek pasir di Perak untuk tambakan laut di Pulau Pinang adalah ibarat bom jangka yang akan menghakis pantai.
“Kesemua memorandum tersebut sudah diserahkan melalui emel kepada menteri berkenaan seminggu sebelum himpunan aman ini.
“Penyerahan memorandum ini sebagai peringatan kepada kerajaan Pakatan Harapan agar mengekalkan akauntabiliti dalam menangani kesengsaraan rakyat Malaysia dengan telus, adil, dan inklusif,” kata kenyataan media kumpulan terbabit.
Himpunan itu kemudiannya bersurai kira-kira pukul 10.30 pagi. – 11 Julai, 2019.

Komen