KEPADA rakyat di kawasan bandar, Najib Razak ialah orangnya yang meruntuhkan institusi negara dan menjerumuskan Malaysia ke lembah hutang yang sehingga hari ini masih bergelut mahu ia selesaikan.
Namun bagi rakyat di luar bandar terutamanya Melayu, bekas perdana menteri itu ada citra yang lain.
Imejnya yang lain itulah yang membuka pintu kepadanya untuk kembali ke Barisan Nasional (BN) sebagai penasihat, kata penganalisis politik.
Bagi masyarakat di luar bandar, Najib sosok sebuah kerajaan yang berkebajikan ke atas rakyat kecil melalui pelbagai program bantuan dan subsidi, kata pensyarah sains politik Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Itu sebabnya Najib jadi aset kepada BN sekarang walaupun beliau jugalah punca parti itu disingkirkan pada pilihan raya umum yang lalu.
Selepas setahun, ahli Parlimen Pekan itu muncul dengan gaya baru melalui jelajah “Malu Apa Bossku”, yang menarik perhatian pengundi yang dengan kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH).
Najib juga adalah antara pemimpin BN yang kuat pengaruhnya di media sosial. Beliau ada 4.13 juta pengikut di Twitter dan 3.88 juta di Facebook.
Beliau juga menggunakan pengalaman tiga dekad dalam kerajaan untuk menunjukkan kelemahan dasar PH, kata penganalisis politik Azlan Zainal.
“Najib dilihat lebih peka dan strategik dalam memposisikan dirinya berbanding terlihat dibelenggu dalam spektrum isu agama dan perkauman yang lebih diminati oleh kepimpinan Umno waktu ini,” kata Azlan daripada kumpulan penyelidik Ilham Centre.
“Pelantikan Najib sebagai penasihat BN dilihat betul kerana ia memahami selok belok pentadbiran kerajaan berbekalkan pengalamannya sebagai PM. Tambahan pula, pakatan pembangkang khususnya PAS telah menerima Umno dan sedia memaafkan Najib,” tambahnya.
Penganalisis lain seperti Dr James Chin dari Universiti Tasmania di Australia mempertikaikan hujah bahawa Najib adalah aset hanya berdasarkan popularitinya di media sosial.
“(Beliau) satu liabiliti. Banyak orang terima bahawa beliau bertanggungjawab atas skandal 1MDB. Media sosial bukan cerminan hidup yang sebenar,” kata Chin, merujuk kepada 1Malaysia Development Berhad yang didakwa diseleweng oleh Najib.
Najib berdepan puluhan tuduhan jenayah berkaitan wang yang hilang daripada 1MDB.

Daripada liabiliti jadi simpati
Walaupun sedang dibicarakan atas tuduhan melibatkan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, BN melantik Najib jadi ketua lembaga penasihatnya dalam usaha parti mendapatkan semula sokongan rakyat.
Bagi masyarakat Melayu yang berpendapatan rendah, tuduhan jenayah ke atas Najib boleh dimaafkan kerana bekas presiden Umno itu dilihat sebagai ahli politik yang “murah hati” yang banyak memberi, kata Mazlan.
“Pada zaman Najib mereka dapat berbagai bantuan dan subsidi. Masa PH ambil alih pula, harga getah jatuh, bantuan kena tarik.
“Pada orang macam ini, rasuah Najib isu peribadi dia. Apa yang penting masa dia PM, dia tolong orang kampung,” katanya.
BN berhadap populariti Najib akan meningkatkan peluangnya dalam pilihan raya akan datang terutamanya di 30 kerusi marginal yang mempunyai bilangan pengundi Melayu yang tinggi, kata Mazlan.
Azlan daripada Ilham Centre pula berkata perbicaraan kes SRC International yang rumit turut secara tidak langsung meningkatkan imej Najib.
Katanya, banyak orang tidak faham proses di mahkamah dan sistem keadilan itu berjalan perlahan untuk memastikan adanya perbicaraan yang adil.
“Segelintir beranggapan kenapa begitu lambat diambil tindakan sedangkan PH telah berkuasa. Jadi timbul tanda tanya adakah benar Najib bersalah atau sebaliknya?” katanya.
Ditambah dengan jelajah “Malu Apa Bossku” yang ditonjolkan untuk meningkatkan imejnya, Azlan melihat Najib boleh mencetuskan persepsi bahawa pertuduhan rasuah terhadapnya adalah bermotifkan politik.
“PH wajar mengambil tindakan segera untuk terus berkhidmat, mengangkat naratif prihatin isu agama, ekonomi rakyat dan mengotakan janji bukan sekadar terus meletakkan salah ke atas Najib yang pada hakikatnya dia telah kalah.
“Jika berterusan begini, asalnya imej Najib dilihat sebagai liabiliti, boleh bertukar menjadi simpati,” katanya. – 11 Julai, 2019.
Komen