HUKUMAN penjara setahun ke atas pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin kerana menghina Sultan Selangor cukup meresahkan dan tidak dapat diterima, kata peguam hak asasi manusia.
Mereka juga menyelar langkah Pejabat Peguam Negara menuntut hukuman lebih keras ke atas Wan Ji semasa rayuan, berbanding hukuman penjara sembilan bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen yang menyabitkan kesalahannya.
Peguam Ambiga Sreenevasan berkata, hukuman yang dikenakan terhadap Wan Ji itu adalah berlebihan dan tidak seimbang.
“Lebih-lebih lagi apabila kerajaan ada rancangan untuk memansuhkan akta yang kuno ini. Ini yang berlaku di Malaysia baharu yang cukup meresahkan dan tidak dapat diterima,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengakui kebebasan bersuara tidak mutlak tetapi Akta Hasutan terlalu jauh dalam mewujudkan kesan menyenangkan dalam ucapan bebas.
“Ia adalah satu akta yang mudah disalahgunakan oleh mereka yang berkuasa,” katanya yang merupakan bekas presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) dan Majlis Peguam.
Wan Ji dihukum penjara setahun selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menghina Sultan Selangor tujuh tahun lalu.
Hakim Abdul Halim Aman menambah tiga bulan lagi hukuman penjara ke atas Wan Ji selepas mempertimbangkan rayuan balas daripada pendakwa raya.
Halim berkata, kata-kata yang digunakan oleh Wan Ji dalam catatan di Facebooknya telah menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah. – 10 Julai, 2019
Komen