PUTRAJAYA akan terus menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) sehingga ada akta baharu kerana ia berkesan menangani jenayah judi haram, kata Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.
Katanya, akta berkenaan berjaya membanteras jenayah judi mesin kuda, judi atas talian dan nombor 4D haram sehingga tinggal 5% sahaja.
Namun, Muhyiddin tidak menolak satu undang-undang baharu akan digubal untuk membanteras judi.
“Kita dapati mungkin ada perlunya kita meneliti undang undang sedia ada yang berkaitan dengan perjudian tapi untuk maklumat, kita sebenarnya telahpun melakukan operasi pembanterasan judi haram secara gunakan peruntukan Poca.
“Akta ini adalah pencegahan perlakuan jenayah, saya lihat memang agak berkesan. Saya baru sahaja diberitahu daripada pegawai, penurunan kadar (judi haram) tinggal 5% sahaja,” kata Muhyiddin di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau mengenai usaha Kementerian Dalam Negeri menangani isu judi haram terutamanya di Sibu, Sarawak.
Jelasnya, berdasarkan statistik 2018, polis telah membuat 1,357 tangkapan menggunakan Poca dan 51 daripadanya adalah kes perjudian.
Antara 2018 hingga 31 Mei 2019, 297 premis telah diserbu dengan membawa penahanan 239 orang, 72 unit mesin dan wang tunai berjumlah RM295,024 dirampas, katanya.
“Pada masa yang sama, Kementerian Dalam Negeri terlibat dalam kajian undang undang berkaitan perjudian yang sedang dijalankan oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk ditambah baik supaya seleras dengan perkembangan semasa, ” katanya lagi.
Pada Mac lepas, Muhyiddin berkata, Kabinet akan memutuskan sama ada Poca dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) akan dimansuhkan pada sidang Parlimen akan datang, kata Muhyiddin Yassin.
Jelasnya, kerajaan akan mengemuka usul memansuhkan kedua-dua akta itu di Parlimen selepas Kabinet membuat keputusan.
Memansuhkan ketiga-tiga akta iaitu Sosma, Poca dan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) merupakan salah satu manifesto yang dijanjikan Pakatan Harapan sewaktu pilihan raya lalu. – 9 Julai, 2019
Komen