PEGAWAI kerajaan bawahan Najib Razak memberi tekanan kepada pegawai Kementerian Kewangan supaya tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pengeluaran jaminan perbelanjaan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion kepada SRC International, mahkamah diberitahu hari ini.
Bekas pegawai Kementerian Kewangan Maliami Hamad memberitahu mahkamah yang tempoh beliau menyediakan dua jaminan kerajaan pada 2011 dan 2012 lebih pantas berbanding amalan biasa kerana diberitahu ia mendapat “perhatian istimewa” Najib.
Mengenai jaminan dikeluarkan pada 2011, Maliami memberitahu mahkamah yang arahan mempercepatkan penyediaan memorandum mesyuarat Kabinet bukan sekadar berasal daripada SRC International tetapi juga daripada bekas ketua setiausaha perbendaharaan Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.
Menurutnya, sepanjang pengetahuannya, Wan Abdul Aziz menerima arahan daripada Najib.
LANGSUNG: Pegawai Kementerian Kewangan beri keterangan
Maliami, 65, adalah bekas setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Kewangan memberitahu mahkamah yang beliau pernah disoal orang bawahan mengapa jaminan kerajaan itu dipercepatkan.
“Afidah Azwa berkata dia tidak cukup masa untuk mengesahkan maklumat diberitahu kepadanya oleh pegawai SRC, sebelum memasukkannya ke dalam memorandum yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet untuk kelulusan.”
Maliami berkata beliau menerima tekanan dalam pinjaman pertama kepada SRC International berjumlah RM2 bilion pada 12 Ogos 2011, kerana pegawai syarikat itu berjumpanya untuk mempercepatkan proses mendapatkan jaminan kerajaan. – 8 Julai, 2019.
Komen