PERBICARAAN kes SRC International melibatkan Najib Razak masuk hari ke-33 hari ini, dengan saksi ke-42, bekas pengarah syarikat itu Suboh Md Yassin kembali memberi keterangan.
Beliau dijangka akan disoal balas oleh peguam pembela berhubung panggilan telefon daripada bekas CEO Nik Faisal Ariff Kamil pada 2015, mendesaknya melarikan diri ke luar negara.
Suboh juga didakwa menerima panggilan telefon daripada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPM) yang tidak dikenali, memberitahunya perkara yang sama.
Berusia 68 tahun, Suboh sebelum ini memberi keterangan beliau melarikan diri ke Bangkok kerana bimbangkan keselamatan dirinya selepas skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terbongkar pada pertengahan 2015.
“Saya takut dengan apa yang sedang berlaku dan Najib, yang berkuasa sebagai perdana menteri ketika itu. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada diri dan keluarga saya.”
SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB sebelum dipindah milik kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) pada Februari 2012. Najib adalah penasihat emeritus kepada SRC International.
Soal balas hari ini mungkin akan memberi tumpuan kepada motifnya melarikan diri, serta dakwaan Nik Faisal dan Najib mengawal SRC International.
Suboh sebelum ini memberi keterangan, ketika di Bangkok beliau bertemu seorang lelaki Thailand dikenali sebagai Kun, yang menawarkan tiket penerbangan ke Abu Dhabi.
Beliau tinggal di Hotel Rosewood, Abu Dhabi selama lebih seminggu, dengan semua perbelanjaan ditanggung dan berkata ditemuramah oleh pegawai SPRM. Beliau kemudian kembali ke Bangkok dan Kuala Lumpur.
Selepas pilihan raya 9 Mei 2018, Suboh berkata Nik Faisal menghubunginya dan sekali lagi menggesa beliau melarikan diri untuk mengelak daripada pihak berkuasa.
Minggu lepas, Suboh memberitahu mahkamah yang tandatangannya berhubung kira-kira sedozen surat arahan Rentas kepada Bank AmIslamic telah dipalsukan.
Arahan adalah untuk AmIslamic Bank memindahkan jutaan ringgit antara SRC International, anak syarikatnya Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.
Walaupun beliau bersetuju dengan cadangan pihak pembela yang Nik Faisal mungkin memalsukan tandatangan untuk membolehkan transaksi melibatkan jutaan ringgit, Suboh berkata CEO hanya melakukannya kerana ada “gunung di belakangnya” yang menyokongnya berbuat demikian.
Suboh tidak mendedahkan identiti “gunung” berkenaan.
Nik Faisal masih hilang dan dipercayai berada di Indonesia, menurut laporan.
Pertuduhan terhadap Najib dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, dengan beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.
Beliau berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa.
Najib, 66, diwakili oleh sekumpulan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam Negara, Tommy Thomas, mengetuai pendakwaan manakala Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengetuai perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
4.56pm: Hakim Nazlan memutuskan perbicaraan ditamatkan untuk hari ini dan akan bersambung esok pada pukul 9 pagi.
4.55pm: Harvey mengakhiri soal balasnya dan memberitahu Hakim Nazlan rakan peguamnya Farhan Read mempunyai beberapa soalan untuk Maliami.
4.31pm: Mahkamah bersambung dengan peguam bela Harvinderjit mula menyoal balas.
4.08pm: Suhaimi menamatkan sesi menyoalnya. Mahkamah berhenti rehat 10 minit.
4.05pm: Suhaimi meneliti kenyataan Maliami dan mengesahkan butirannya.
3.32pm: Suhaimi: Bagi jaminan kerajaan yang pertama, anda menyebut Nik Faisal dan wakil lain daripada SRC datang ke Kementerian Kewangan. Adakah ia prosedur biasa bagi pegawai untuk datang dan melawat anda?
Maliami: Biasanya, pegawai daripada syarikat (yang memohon jaminan kerajaan) akan datang dan berjumpa dengan saya. Dalam kes ini, mereka menelefon saya untuk membuat temujanji
Suhaimi: Siapa?
Maliami: Nik Faisal
3.30pm: Maliami berkata beliau diminta oleh Afidah Azwa (ketua pembantu setiausaha Kementerian Kewangan) mengapa mereka terburu-buru dengan jaminan kerajaan.
“Beliau memberitahu tidak mempunyai cukup masa untuk melakukan penyelidikan lengkap mengenai SRC International,” katanya.
“Kemudian, saya menjawab yang permintaan pinjaman SRC diberi perhatian istimewa oleh perdana menteri ketika itu Najib Razak.”
3.02pm: Maliami berkata pada 27 Januari 2012, beberapa eksekutif SRC International datang ke Kementerian Kewangan untuk meminta jaminan kerajaan kali kedua.
2.52pm: Pendakwa Suhaimi Ibrahim menyoal Maliami.
2.51pm: Beliau berkata Nik Faisal dan Zahid Taib datang ke Kementerian Kewangan pada 15 Ogos 2011.
2.49pm: Menurut Maliami pada 12 Ogos 2011, SRC International menulis kepada kementerian untuk meminta jaminan kerajaan.
2.46pm: Beliau bersetuju untuk mengeluarkan dua surat jaminan kerajaan kepada KWAP pada 2011 dan 2012.
2.39pm: Mahkamah bersambung semula. Saksi ke-43 Maliami Hamad, 65, setiausaha bahagian pinjaman Kementerian Kewangan memberi keterangan.
Beliau memberitahu mahkamah ia adalah kenyataannya dan dibantu oleh pendakwa raya.
12.55pm: Sithambaram menamatkan soalannya dan membenarkan Suboh turun. Saksi baru akan dipanggil selepas makan tengah hari.
12.51pm: Harvinderjit sekali lagi berhujah mengenai hala tuju soalan.
Sithambaram berkata beliau hanya bertanya soalan biasa untuk memahami beberapa perkara.
Hakim Nazlan meminta untuk diteruskan.
Sithambaram menasihatkan Suboh supaya tidak risau apa-apa dan hanya mengatakan perkara yang benar.
12.49pm: Sithambaram: Pada masa anda dan Nik Faisal menjadi pengarah SRC International, adakah beliau sentiasa berada dalam negara?
Suboh: Seingat saja, kadang-kala beliau dalam negara, kadang-kala tidak.
12.45pm: Sithambaram: Berdasarkan apa yang kami tunjukkan kepada anda, yang dipalsukan, adakah anda melihat sebarang wang masuk ke akaun Nik Faisal?
Suboh: Tidak
Sithambaram: Ada wang masuk ke akaun anda?
Suboh: Tidak
Sithambaram: Adakah anda sedar siapa melantik Nik Faisal sebagai CEO dan kemudian sebagai pengarah SRC International?
Suboh: Tidak, saya tidak tahu.
Sithambaram: Adakah anda tahu sekiranya Nik Faisal mempunyai mandat untuk menangani akaun bank peribadi Najib?
Suboh: Saya tidak tahu.
12.34pm: Harvinderjit berhujah dengan Sithambaram mengenai mengapa beliau perlu meneliti transaksi SRC International lagi sedangkan ia sudah dilakukan dengan pegawai bank.
Sithambaram berkata tiada salahnya mengesahkan ia dengan Suboh, yang merupakan pengarah SRC International pada masa itu.
Sithambaram berjanji dengan Nazlan tidak akan mengambil masa yang lama.
12.18pm: Sithambaram meneliti penyata bank SRC International.
11.59am: Sithambaram berkata akan meneliti beberapa minit mesyuarat lembaga SRC International.
Pendakwa menunjukkan Suboh beberapa minit mesyuarat.
Sithambaram: (P502) Minit mesyuarat lembaga ini diadakan pada 8 Jun 2012. Anda mengesahkan hadir di mesyuarat ini?
Suboh: Ya.
11.58am: Ketika Sithambaram mengesahkan dokumen Rentas, beliau bertanya jika Suboh mengenali Krystle Yap.
Sithambaram: Adakah anda tahu Krystle Yap adalah pengurus perhubungan dengan bank AmIslamic?
Suboh: Tidak. Saya tidak tahu.
Harvinderjit membantah soalan, dengan mengatakan saksi itu pernah ditanya mengenai hal itu.
Sithambaram mengatakan ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana mereka sedang dalam proses pengesahan.
11.45am: Sithambaram mengatakan beliau akan meneliti borang Rentas.
11.44am: Semasa mengesahkan dokumen, Sithambaram mengatakan kepada Suboh malah tandatangan Nik Faisal kelihatan dipalsukan atau ditampalkan.
Sithambaram: Tandatangan Nik Faisal juga dipotong dan ditampal. Sama seperti anda.
Suboh: Ya.
11.33am: Mahkamah bersambung semula dengan pendakwa Sithambaram mendapatkan pengesahan tandatangan dengan Suboh.
10.45am: Shafee: Pada 2018, kenapa anda bercuti pada hari mengundi?
Suboh: Saya baru saja mengundi dan memutuskan untuk bercuti.
Shafee: Di antara semua hari lain, kenapa anda memutuskan untuk bercuti pada hari mengundi?
Suboh: Bagaimana saya hendak menerangkannya? Saya fikir saya perlu berhenti sebentar.
Mahkamah ketawa.
Shafee: Anda memberitahu SPRM pada 2 hari berasingan bahawa tandatangan bukan milik anda. Anda memberi penjelasan terperinci tentang perkara ini. Saya fikir seseorang mengancam anda untuk menukar kenyataan anda
Suboh: Bukan begitu.
Mahkamah berhenti rehat.
10.35am: Suboh: Saya kemudian menerima panggilan daripada SPRM memberitahu supaya jangan datang.
Shafee: Adakah anda tahu nama pegawai itu?
Suboh: Tidak.
Shafee: Anda membuat temu janji dengan SPRM dan kata menerima panggilan memberitahu jangan datang. Tidakkah anda curiga?
Suboh: Saya sangat keliru.
Shafee: Sekarang atau ketika itu?
Suboh: Ketika itu.
10.30am: Shafee: Pada 2015, adakah anda tahu Nik Faisal melakukan sesuatu yang salah?
Suboh: Saya tidak tahu. Saya hanya mempercayainya.
Shafee: Bilakah kamu pulang ke Kuala Lumpur? Anda pergi ke Bangkok, kemudian ke Abu Dhabi dan kembali ke Bangkok. Bilakah anda pulang ke Kuala Lumpur?
Suboh: Dalam minggu itu juga.
Shafee: Adakah ia masih dalam 2015?
Suboh: Saya tidak ingat.
Shafee: Apa yang membuatkan awak pulang ke sini?
Suboh: Saya rasa saya boleh kembali ke sini.
Shafee: Anda berasa selamat untuk kembali?
Suboh: Ya.
Shafee: Adakah anda tahu bahawa anda dicari oleh SPRM pada 2015?
Suboh: Ya, malah saya sukarela. Saya menelefon mereka untuk memberikan kenyataan saya.
10.20am: Shafee: Anda mesti mempunyai sebab mengapa perlu pergi. Adakah anda bertanya kepada Nik Faisal mengapa? Mengapa ikut arahan untuk pergi?
Suboh: Tidak. Saya tidak bertanya.
Shafee: Adakah anda melakukan sebarang kesalahan?
Suboh: Tidak, saya tidak melakukan sebarang kesalahan.
Shafee: Adakah isteri anda bertanya mengapa? Adakah dia bertanya jika anda ingin berbulan madu untuk kali kedua? Isteri biasanya akan bertanya. Adakah anda tahu?
Suboh: Tidak.
10.10am: Shafee: Pada 2015, beliau meminta anda meninggalkan negara. Adakah anda keluar dari negara pada 2015?
Suboh: Ya.
Shafee: Ke mana?
Suboh: Bangkok
Shafee: Adakah anda ingat nama hotel?
Suboh: Saya tidak ingat.
Shafee: Di manakah anda pergi pada 2015? Adakah anda pergi ke Abu Dhabi?
Suboh: Ya.
Shafee: Siapa yang memberikan tiket?
Suboh: Seorang lelaki Thai. Beliau memberikan saya tiket.
Shafee: Adakah tiket itu untuk anda dan isteri?
Suboh: Ya
Shafee: Berapa lama anda tinggal di sana?
Suboh: Satu minggu.
Shafee: Dan ke mana awak pergi selepas itu? Bangkok ke Abu Dhabi kemudian ...?
Suboh: Kembali ke Bangkok. Ada tiket pergi balik.
Shafee: Jadi di mana kamu tinggal kali ini. Adakah hotel yang sama?
Suboh: Tidak, saya tinggal di sebuah hotel yang lain.
10.05am: Suboh mengambil tempat untuk memberi keterangan.
Harvinderjit bertanya Suboh jika beliau kenal Krystle Yap, Joanna Yu dan Daniel Lee. Saksi menjawab “tidak”.
Suboh berkata Nik Faisal memintanya meninggalkan Malaysia.
“Beliau meminta saya keluar dari Malaysia. Beliau mahu saya pergi ke Bangkok. “
Shafee: Adakah anda bertanya kepadanya mengapa?
Suboh: Tidak, saya tidak bertanya.
Shafee: Mengapa kamu tidak bertanya?
Suboh: Kerana saya enggan pergi.
10.00am: Shafee berkata mereka sebelum ini sudah berkomunikasi dengan mahkamah untuk membuat salinan transparensi.
Beliau mengatakan beberapa salinan dibuat dan ditandakan oleh mahkamah dan dokumen itu bukan dokumen utama yang tidak boleh dibuat salinan.
Shafee berkata saksi Suboh mengesahkan ia adalah palsu dan pasukan pembela tidak mempunyai alasan untuk mengubahnya.
“Tiada persoalan mengenai mengubahnya.”
Sithambaram mengatakan barang bukti ditandakan tidak boleh dibawa keluar dari mahkamah.
Hakim Nazlan memerintahkan bahawa pada masa depan, setiap bahan bukti yang sudah ditanda, sebarang cadangan untuk membuat salinannya harus mendapatkan izin daripada pihak pendakwa dan hakim serta secara bertulis.
9.55am: Thomas mengatakan ia adalah peraturan asas bahawa barang bukti perlu disimpan di mahkamah. “Sekiranya mana-mana pegawai melihatnya, ia mestilah dilakukan secara terbuka dan telus.”
Nazlan berkata dokumen itu dilihat dan ditandakan oleh pasukan pembela dan pendakwa pada Jumaat.
Sitham memberitahu Nazlan peguambela mengambil dokumen itu pada Rabu lepas.
Beliau kemudian bertanya mengapa ia mengambil masa yang lama untuk membuat salinan dokumen itu kerana pihak pembela berkata ia tiada dalam simpanan mereka.
9.45am: Mahkamah bersidang.
Penguam V. Sithambaram memberitahu mahkamah 17 transparensi surat arahan yang diimbas hilang dari mahkamah. Pasukan pembelaan sebelum ini cuba memasukkannya sebagai tambahan barang bukti.
Timbalan pendakwa raya juga memberitahu Hakim Nazlan bahawa 17 barang bukti itu ditandakan minggu lepas juga tiada di mahkamah.
Beliau meminta Nazlan agar pasukan pembela menjelaskan ketiadaannya.
Shafee berkata beliau ingin mendapatkan salinan 17 bahan dan tiada muslihat di sebaliknya.
Pasukan peguam pembela mengatakan salinan adalah dokumen dan pegawai mahkamah sudah dimaklumkan.
9.00am: Najib tiba di mahkamah. Beliau berada di tingkat 4 bagi menghadiri pengurusan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad yang melibatkan RM2.28 bilion. – 8 Julai, 2019.
Komen