AHLI PKR tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Mohamed Azmin Ali daripada serangan fitnah dikaitkan dengan rakaman seks dua lelaki kerana merasakan menteri itu sendiri pun tidak bersungguh-sungguh mempertahankan dirinya sendiri, kata akar umbi parti.
Mereka melihat sebulan selepas Haziq Abdullah Abdul Aziz menuduh timbalan presiden PKR itu adalah pasangan intimnya sejak tiga tahun lalu, Azmin hanya membuat penafian dan menghantar pegawainya untuk membuat laporan polis.
Aktivis PKR di akar umbi memberitahu The Malaysian Insight, ini menyebabkan mereka buntu untuk mempertahankan timbalan presiden parti apabila berdepan dengan masyarakat yang kritikal.
“Saya sebagai pemimpin yang menghadap akar umbi… kita yang berdepan dengan masyarakat, susah kita nak back up (pertahan) Azmin kalau dia pun tak bersungguh nak pertahan diri dia.
“Banyak juga tuduhan Haziq yang tak dijawab Azmin. Orang di bawah semua ingat (dakwaan Haziq), Azmin saja yang elak,” kata seorang pemimpin Pemuda PKR dari Johor, yang enggan identitinya didedahkan.
Sehari selepas rakaman seks dua lelaki tersebar di media sosial, Haziq membuat pengakuan beliau melakukan hubungan intim dengan Azmin di sebuah hotel di Sandakan, Sabah semasa kempen pilihan raya kecil pada 11 Mei.
Dalam pengakuannya, Haziq turut menggesa agensi anti rasuah menyiasat Azmin yang didakwanya tidak layak jadi pemimpin kerana rasuah.
Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi menafikan tuduhan Haziq, yang disifatkannya fitnah jahat bertujuan memusnahkan masa depan politiknya.
“Mana orang lain?”
Dalam pada itu, ada pemimpin akar umbi merasakan pemimpin atasan PKR pun tidak semuanya lantang mempertahankan Azmin.

“Hanya sesetengah saja yang bersuara… yang lain-lain kita tengok macam biasa-biasa saja,” kata seorang pemimpin bahagian di Perak.
Beliau menyebut dua naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua sebagai antara yang kuat mendukung Azmin, dan membayangkan penyokong yang lain sudah mula meninggalkan menteri itu.
Dua minggu selepas Azmin dituduh, Tian Chua membuat kenyataan terbuka menggesa ahli parti bersatu menyokong timbalan presiden itu sepenuhnya, sama seperti mereka mendukung Anwar Ibrahim semasa berdepan dakwaan terlibat kes liwat.
Pemimpin akar umbi PKR memberitahu The Malaysian Insight ahli dan pemimpin parti kini bercakap tentang sesetengah penyokong Azmin yang perlahan-lahan mula menjarakkan diri mereka daripadanya.
“Ibarat sudah jadi pengetahuan umum… kebanyakan orang kuat Azmin kini berpaling tadah,” kata seorang pemimpin di Perak.
The Malaysian Insight difahamkan sekarang ini ada gerakan dalam PKR mahu mendesak Azmin berundur daripada jawatan kabinet dan parti sekiranya tuduhan Haziq itu terbukti benar.
Mereka menunggu siasatan polis selesai sebelum membuat keputusan muktamad, kata seorang pemimpin PKR di Selangor.
“Jika benar dan tidak dapat dipertahankan lagi, kita akan gesa Azmin berundur. Kita boleh hantar memorandum kepada presiden untuk ambil tindakan.
“Sekiranya Azmin benar tidak bersalah, maka kita akan terus berjuang pertahan menangkis politik kotor,” katanya.
Seorang ketua cabang PKR di Perak berkata langkah mudah untuk Azmin membersihkan nama ialah memfailkan saman terhadap Haziq.
“Apabila dia (Azmin) tidak saman, nampak macam dia takut. Kalau tak benar (tuduhan itu), saman saja. Lagi pun, Haziq sudah kena pecat.
“Saya kecewa… semua macam larikan diri daripada isu video ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Abdullah Sani Abdul Hamid sebelum ini menggesa Azmin menggunakan mahkamah untuk membersihkan namanya.
Dalam satu wawancara, Haziq juga mencabar Azmin mengambil tindakan undang-undang berhubung pendedahannya mengenai hubungan seks mereka. – 6 Julai, 2019.
Komen