Sokong Azmin macam Anwar dulu, kata Tian Chua kepada ahli PKR


Naib Presiden PKR Tian Chua menggesa ahli parti itu untuk menolak politik kotor yang sedang melanda negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2019

NAIB Presiden PKR Tian Chua menggesa ahli parti itu untuk menolak politik kotor yang sedang melanda negara dan bersatu menyokong penuh kepimpinan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, seperti mana sokongan mereka kepada presiden mereka, Anwar Ibrahim sebelum ini.

Beliau yang juga bekas ahli Parlimen Batu itu berkata, semua anggota PKR menyertai parti berkenaan mempunyai pendapat dan pegangan sama iaitu menolak politik fitnah dan jijik.

“Kemunculan dan kebangkitan Parti Keadilan Rakyat adalah untuk menolak parti kotor dan bagaimana kita mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu, begitu juga sekarang ini kita mempertahankan Datuk Seri Azmin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Keadilan Cabang Bagan serta Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Butterworth malam ini.

Katanya, perjuangan untuk PKR itu adalah untuk memastikan negara bebas dari politik fitnah dan semua anggotanya tidak akan bertolak ansur dalam mempertahankan nilai asas ini.

“Saya sependapat dengan semua anggota parti yang ada di sini dan semua akar umbi. Kita semua  menyertai parti ini kerana  kita menolak politik  fitnah. Kalau tidak, tak akan kita masuk Parti Keadilan Rakyat, saya tidak akan membazir masa 20 tahun di sini (bersama PKR),” katanya. – Bernama, 25 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen