Umno, PAS untung pengundi umur 18 tahun, kata penganalisis


Zaim Ibrahim

Jika PAS dan Umno membentuk kerjasama mantap, ia akan menjadi satu kelebihan kerana PRU14 menunjukkan, 75% pengundi Melayu memilih PAS dan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2019.

UMNO dan PAS akan dapat manfaat besar sekiranya Parlimen meluluskan cadangan menurunkan umur layak mengundi daripada 21 ke 18 tahun, kata penganalisis.

The Malaysian Insight difahamkan, daripada data rasmi di Putrajaya, terdapat lebih 1.5 juta warganegara akan layak mendaftar sebagai pengundi dengan pindaan ke atas Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan itu.

Penganalisis melihat walaupun nanti akan ada pertambahan baru pengundi muda, pola pengundian tidak akan banyak berubah dengan pengundi Melayu akan terus condong tidak menyokong Pakatan Harapan (PH).

Kajian Ilham Centre ke atas data Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menunjukkan 46% pengundi Melayu memilih Barisan Nasional (BN) sementara 35% menyokong PAS. Hanya 17% pengundi Melayu mengundi PH.

Pensyarah komunikasi politik Jeneri Amir percaya pola pengundian itu tidak akan jauh berubah pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga mengingatkan betapa golongan muda cenderung menyokong pembangkang atas sikap anti golongan berkuasa dan melawan sistem arus perdana.

“Kita harap pengundi muda buat tidak buat perhitungan berdasarkan naratif politik yang diwacanakan melalui media sosial.

“Mereka perlu celik politik yang tinggi, bukan terpengaruh dengan media sosial, atau sentimen sahaja. Perkara ini ibu bapa perlu main peranan untuk memberi pendidikan politik,” kata pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, sukar untuk meramalkan perubahan yang akan berlaku terhadap senario politik negara apabila kelayakan umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Ini kerana tiada data yang kukuh yang tersedia kepada umum mengenai kumpulan yang berumur antara 18 dan 21 tahun.

Namun, beliau mengaku Umno dan PAS akan ada kelebihan, berdasarkan juga beberapa faktor lain.

“Jika PAS dan Umno boleh bentuk kerjasama yang mantap dan berlakunya pertandingan satu lawan satu dengan PH, ia adalah satu kelebihan buat mereka kerana PRU14 menunjukkan, 75% pengundi Melayu memilih PAS dan Umno.

“Tetapi, realiti ini boleh berubah sebelum PRU akan datang. Melihat kepada keadaan yang tidak menentu, perkara yang berlaku pada 2018 mungkin tidak akan berulang pada masa hadapan,” katanya.

Kajian Merdeka Center mendapati antara 25 hingga 30% pengundi Melayu memilih PH pada PRU14 lalu, manakala kira-kira 35 hingga 40% pengundi Melayu memilih BN dan 30 hingga 33% menyokong PAS.

Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata sukar meramalkan perubahan yang akan berlaku terhadap senario politik negara apabila kelayakan umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2019.

Dalam pada itu, golongan muda menyambut baik usaha kerajaan menurunkan kelayakan umur mengundi yang akan memberi peluang kepada lebih banyak belia memilih kerajaan.

Ahmad Rozaidi Abdul Malek, 21, mahasiswa perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagaimana berharap kerajaan akan memperkenalkan pendidikan politik di sekolah bagi menyiapkan warganegara memahami sistem bernegara sejak di bangku sekolah.

“Satu subjek elektif mengenai politik perlu diperkenalkan ataupun tambah dalam subjek Sejarah. Perlu dikembangkan silibus dengan adakan pengenalan politik dalam subjek Sejarah,” katanya.

Mahasiswa pengajian biologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Zaqqim Imdad Ibrahim, 21, pula menganggap umur 18 tahun boleh dianggap satu tempoh yang matang untuk terlibat dalam politik.

“Belia berumur 18 tahun layak memilih siapa patut memimpin negara kerana mereka juga sudah layak untuk berkahwin, mendapatkan lesen kenderaan,” katanya.

Pelajar perubatan Universiti Malaya (UM), Muhammad Faris Naim Asmunni, 20, pula berpendapat umur 18 tahun juga matang untuk membezakan antara yang baik dan buruk.

“18 tahun satu umur yang sudah boleh membezakan betul dan salah, membezakan pemimpin cerdik dan bodoh. 

“Umur yang sama itu, kalau buat jenayah boleh masuk penjara, dan bertanggungjawab atas kesalahan. Jika begitu, kenapa dalam bab mengundi tidak boleh?” soalnya.

Kerajaan semalam membentangkan usul pindaan ke atas peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan kelayakan umur mengundi.

Usul dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – 5 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen