Pihak berkuasa agama jadikan umat Islam jahil, kata Dr Ahmad Farouk


Sheridan Mahavera

Pengerusi Islamic Renaissance Front, Dr Ahmad Farouk Musa berkata umat Islam di negara ini diajar dengan tafsiran yang rigid dan tidak boleh dipersoalkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 September, 2017.

GELOMBANG ketaksuban umat Islam kebelakangan ini berpunca daripada bagaimana Islam diajar dan dikawal di negara ini, kata badan pemikir Islam progresif Islamic Renaissance Front (IRF).

“Cara pihak berkuasa memonopoli agama menjadikan kita menjadi orang Islam yang bodoh,” kata Pengerusi IRF Dr Ahmad Farouk Musa.

Inilah gambaran terselindung yang berlaku di sebalik kejadian insiden diskriminasi baru-baru ini yang mengejutkan negara.

Ia terdiri daripada penahanan penulis Turki terkenal Mustafa Akyol kerana memberikan ceramah mengenai Islam, sebuah kedai dobi layan diri untuk orang Islam sahaja di Muar, Johor, dan seorang lelaki yang didenda kerana berseluar pendek bermain futsal di Kelantan.

Masalah dengan cara Islam diajar kepada umat Islam di negara ini adalah tafsirannya yang rigid dan tidak boleh dipersoalkan, kata Dr Ahmad Farouk.

Terdapat juga salah faham yang tafsiran dan undang-undang Islam daripada agensi yang diamanahkan kerajaan adalah “ajaran sebenar daripada Tuhan” dan ini menjadikannya lebih sukar untuk mempersoalkan kewibawaan pihak berkuasa.

“Apabila rakyat Malaysia mempelajari sesuatu dalam Islam daripada ‘ustaz’ mereka, tidak ada yang bertanya apa asas atau peraturan mengenai dalam al-Quran?

“Mereka hanya menerima segalanya sebagai kebenaran mutlak,” katanya.

Dr Ahmad Farouk menggunakan contoh lelaki yang diarahkan menghadiri kaunseling atau didenda oleh polis agama Kelantan kerana memakai seluar pendek bagi menggambarkan bahaya yang dimaksudkan apabila tafsiran itu dimonopoli.

Sepanjang sejarah Islam, para ulama sering berbeza pendapat dengan apa yang dianggap “aurat” bagi lelaki dan wanita.

Para ulama ini mewujudkan banyak fahaman fiqah Islam yang dipanggil “mazhab” dan mereka dianggap sama dari segi kesahihannya.

“Pengasas fahaman Maliki, Malik ibn Anas (pada abad ke-8 Arab) terkenal dengan menentang khalifahnya yang ingin menjadikan tafsiran beliau sebagai tafsiran rasmi.

“Imam Malik berkata tidak kerana seperti ramai ulama pada masa itu, mereka percaya tiada tafsiran yang sempurna.”

Masalahnya ialah apabila pihak berkuasa agama moden di negara-negara Islam seperti Malaysia mengamalkan satu fahaman sebagai “tafsiran rasmi” dan melarang fahaman lain.

Oleh kerana pihak berkuasa Malaysia telah mengadaptasi dan menjadikan mazhab Shafie sebagai rasmi, semua umat Islam terpaksa mematuhinya, kata Dr Ahmad Farouk.

“Tetapi jika pihak berkuasa tidak memonopoli tafsiran Islam dan menerima yang terdapat banyak mazhab dan interpretasi yang berbeza sepanjang sejarah Islam, maka kita tidak akan berdepan masalah ini.”

Tindakan pemilik kedai dobi layan diri yang mendiskriminasi orang bukan Islam sangat tidak masuk akal, kata Dr Ahmad Farouk.

“Ia perkara paling bodoh yang dilakukan oleh umat Islam. Mengasingkan pakaian orang Islam dan bukan Islam. Ia mengingatkan saya tentang masalah mengenai coklat dua tahun lalu.”

Pada tahun 2014, umat Islam Malaysia terkejut selepas DNA babi ditemui dalam coklat Cadbury. Syarikat dan Jabatan Kemajuan Agama Persekutuan (Jakim) segera mengesahkan coklat itu adalah halal.

“Pada masa itu, satu kumpulan Islam berkata untuk membersihkan diri mereka jika sudah termakan coklat Cadbury, adalah melakukan pemindahan darah lengkap. (Isu kedai dobi) sebodoh itu.

“(Albert) Einstein pernah berkata ‘hanya ada dua perkara yang tidak terbatas, alam semesta dan kebodohan.” – 30 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen