ANAK perempuan Najib Razak, Nooryana Najwa Najib menzahirkan sokongan kepada abang tirinya, Riza Aziz yang berdepan tuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi esok.
Sokongan dizahirkan Nooryana, 31, menerusi Instagram dengan tanda pagar #doublejeopardy dan #siblingsstandtogether.
“Hari ini, SPRM dakwa abang saya. Dia sudahpun dihadapkan dengan tuntutan mahkamah atas perkara sama di Amerika Syarikat (AS). Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, Red Granite membayar sejumlah wang kepada DoJ,” katanya di akaun Instagramnya, yananajib.
“Tetapi walaupun sudah capai penyelesaian di AS dan hakikatnya bahawa salah laku yang didakwa itu berlaku di luar Malaysia, SPRM tetap mengenakan pendakwaan selepas setahun kes ini terbiar sepi.
“Dia bukan penjenayah, dia abang saya.”
Riza, 43, anak Rosmah Mansor menerusi perkahwinan terdahulu, tengah hari tadi ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat agensi anti rasuah itu di Putrajaya. Beliau kemudian dibebaskan dengan jaminan.
Riza, yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kewangan dan pernah menyambung pengajian di London School of Economics turut disoal siasat sebanyak empat kali oleh SPRM pada Julai tahun lalu.
Red Granite membayar AS$60 juta kepada Jabatan Kehakiman AS (DoJ) pada Mac tahun lalu untuk menyelesaikan tuntutan bagi penghasilan tiga filem menggunakan dana yang diperoleh daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Riza dan Nooryana juga dinamakan dalam saman lucut hak RM680 juta yang difailkan pendakwa raya pada bulan lalu bagi aset yang didakwa dibeli menggunakan dana daripada 1MDB. – 4 Julai, 2019.
Komen