ANAK tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini dan dijangka akan dibawa ke mahkamah esok.
Penahanan itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya.
“Saya sahkan dia ditahan hari ini dan dibebaskan dengan jaminan.
“Dia akan dihadapkan ke mahkamah esok mengikut AMLA,” katanya merujuk kepada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Sementara itu, sumber SPRM berkata, Riza yang merupakan penerbit filem Hollywood akan didakwa sebagai pemilik Red Granite Pictures dan menerima wang haram daripada Good Star Ltd, sebuah syarikat yang ada kaitan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho.
Beliau akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok pagi.
Anak lelaki Rosmah Mansor berusia 43 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Red Granite membayar AS$60 juta kepada Jabatan Kehakiman AS (DoJ) pada Mac tahun lalu untuk menyelesaikan tuntutan bagi penghasilan tiga filem menggunakan dana yang diperoleh daripada 1Malaysia Development Berhad.
Riza, yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kewangan dan pernah menyambung pengajian di London School of Economics turut disoal siasat sebanyak empat kali oleh SPRM pada Julai tahun lalu.
Red Granite Pictures, yang menerbitkan filem komedi seperti “Daddy’s Home” dan “Dumb and Dumber To”, dikehendaki menyelesaikan tunggakan AS$60 juta
dengan tiga kali ansuran dalam 12 bulan dari Mac, menurut dokumen yang difailkan oleh mahkamah di California.
Syarikat itu didakwa oleh pihak berkuasa AS menerima sejumlah AS$238 juta yang didakwa dicuri daripada 1MDB.
DoJ percaya wang berkenaan dipindahkan ke akaun bank yang dikawal oleh Riza.
Riza didakwa menggunakan dana itu untuk memberi hartanah mewah daripada Low, yang juga dikenali sebagai Jho Low, dan juga poster filem.
DoJ juga berkata, Riza mendakwa wang yang diterimanya daripada 1MDB merupakan “hadiah”.
Keseluruhannya, DoJ cuba merampas semula aset bernilai kira-kira AS$1 bilion yang didakwa dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB.
Riza turut dinamakan dalam saman lucut hak RM680 juta yang difailkan pendakwa pada bulan lalu bagi aset yang didakwa dibeli menggunakan dana daripada 1MDB. Turut dinamakan Nooryana Najwa Najib dan Norashman Najib.
Riza merupakan individu ketiga dalam keluarga Najib yang akan didakwa.
Najib kini berdepan perbicaraan SRC International yang mana beliau didakwa menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya. Bekas perdana menteri itu turut berdepan empat lagi perbicaraan jenayah lain yang akan bermula tahun depan.
Sementara itu, ibu Riza, Rosmah Mansor berdepan dua perbicaraan jenayah iaitu penglibatannya dalam mendapatkan kelulusan RM1.25 bilion bagi projek solar hibrid di Sarawak dan kesalah oengubahan wang haram selepas beliau didakwa menerima RM7 juta melalui 235 transaksi.
Perbicaraan ditetapkan pada Februari dan Mei tahun depan. – 4 Julai, 2019
Komen