LIMA lantikan baru ke Majlis Tertinggi Umno yang diumumkan kelmarin lebih untuk mengukuhkan Umno sebagai pembangkang yang berkesan, kata beberapa pemimpin parti.
Lantikan itu bukan untuk menguatkan Ahmad Zahid Hamidi, yang menamatkan cutinya sejak pertengahan Disember dan kembali menjalankan tugas sebagai presiden parti, kata mereka.
Ini kerana, kata mereka, ada antara lima yang dilantik itu sebelum ini kuat juga mengkritik Zahid.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam berkata lima yang dilantik ke Majlis Tertinggi Umno itu adalah mereka yang konsisten dan lantang mengkritik Pakatan Harapan selepas Barisan Nasional kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Umno zaman pembangkang ini memerlukan lebih ramai individu yang vokal. Saya yakin dengan kehadiran mereka ini Umno akan terus jadi pembangkang yang berkesan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa kelmarin mengumumkan pelantikan lima anggota baru Majlis Tertinggi Umno yang dibuat oleh Zahid mengikut kuasanya di bawah perlembagaan parti.Pelantikan lima anggota Majlis Tertinggi Umno kelmarin adalah bagi mengisi kekosongan jawatan dalam badan eksekutif parti itu selepas mereka yang menyandang kerusi lantikan sebelum ini keluar parti.
Mereka ialah ketua bahagian Batu Pahat (Johor) Mohd Puad Zarkashi; ketua bahagian Hulu Langat (Selangor), Johan Abd Aziz; ketua bahagian Bagan (Pulau Pinang), Shaik Hussien Mydin; ketua bahagian Sepanggar (Sabah), Yaakub Khan dan naib ketua bahagian Seputeh (Kuala Lumpur) Mohd Razlan Muhammad Rafii.
“Puad Zakarshi walaupun tidak senarai sebagai calon (dalam PRU14) beliau konsisten menegur kerajaan. Beliau juga tak tinggalkan parti.
“Razlan bersama saya dalam perhimpunan membantah ICERD. Shaik dari juga selalu mendedahkan penyelewengan kerajaan Pulau Pinang sewaktu Lim Guan Eng jadi Ketua Menteri,” tambah Lokman.
Lima Ahli MT lantikan yang keluar parti ialah Anifah Aman, Azizah Mohd Dun, Hajiji Noor, Pandikar Amin Mulia dan Salleh Said Keruak, semuanya dari Sabah.
Pelantikan itu bagaimanapun mendapat kritikan dalam kalangan ahli Umno sendiri, termasuk yang menganggapnya sebagai “askar upahan” untuk menguatkan kedudukan Zahid.
Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi, Dira Abu Zahar menangkis dakwaan tersebut sebaliknya mengingatkan pelantikan tersebut adalah hak presiden untuk mengisi kekosongan.
“Label askar upahan itu tidak benar. Kita semua (ahli parti) adalah askar dan jentera dalam parti. Lagipun lantikan itu hak presiden. Setiap jawatan ada kuotanya. Ada yang menang dan ada yang lantikan,” katanya.
“Saya rasa mereka ini antara individu yang kuat menyerang Pakatan Harapan. Mereka sangat aktif di media sosial. Saya rasa Presiden memilih mereka yang secara mentalnya sudah bersedia di barisan hadapan.”
Beliau yang juga exco Puteri Umno yakin Zahid ada alasan tersendiri kenapa beliau memilih mereka dan akan menjelaskan strateginya dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang akan datang.
“Kita sekarang hanya tunggu untuk mesyuarat seterusnya selepas dia balik daripada bercuti. Sekarang ini masih belum (dipanggil mesyuarat) mungkin kerana sibuk dengan sidang parlimen,” katanya.
Exco Pemuda Umno Wan Muhamad Azri Wan Deris atau Papagomo juga berkata tidak adil untuk melabel mereka yang dilantik ke Majlis Tertinggi Umno itu sebagai askar upahan kerana mereka sebelum ini lantang juga mengkritik Zahid.
“Bukan askar atau apa kerana ia lebih untuk kukuhkan parti. Seperti Razlan, dia bukanlah dikatakan penyokong kuat sesiapa, lebih neutral dalam mengutarakan pendapat.
“Malah orang seperti Shaik dan Johan juga pernah mengkritik Zahid dalam kepimpinan. Yang saya nampak orang kuat Zahid hanyalah Puad Zakarshi,” katanya lagi.
Lokman juga tidak setuju mereka itu digelar askar upahan.
“Orang nak tuduh askar upahan, itu terpulang,” katanya. – 4 Julai, 2019
Komen