EMPAT ketua Umno Bahagian dan seorang naib ketua Umno Bahagian dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkuatkuasa serta merta.
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah bersetuju dengan pelantikkan tersebut selaras dengan Fasal 9.2.8 Perlembagaan Umno.
Mereka yang dilantik ke jawatan tersebut Ketua Umno Bahagian Batu Pahat Mohd Puad Zarkashi, Ketua Umno Bahagian Hulu Langat Johan Abd Aziz, Ketua Umno Bahagian Bagan Shaik Hussien Mydin, Ketua Umno Bahagian Sepanggar Yaakub Khan dan Naib Ketua Umno Bahagian Seputeh Mohd Razlan Muhammad Rafii.
“Pelantikan ini berkuatkuasa serta merta sehingga tempoh Majlis Kerja Tertinggi 2018-2021,” katanya dalam satu kenyataan.
Fasal tersebut menyatakan presiden boleh melantik tidak lebih daripada 12 orang termasuk sekurang-kurangnya seorang dari Pergerakan Pemuda, seorang dari Pergerakan Wanita dan seorang dari Pergerakan Puteri.
Terdapat lima kekosongan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (lantikan) selepas mereka yang dilantik sebelum ini bertindak keluar parti.
Mereka yang keluar parti terdiri daripada bekas pimpinan Umno Sabah iaitu Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman, Ahli Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun, Adun Sulaman Hajiji Noor bekas Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia dan bekas menteri komunikasi dan multimedia Salleh Said Keruak.
Hujung tahun lalu, Hajiji yang merupakan bekas pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah bersama 9 Adun, 4 ahli Parlimen, 2 senator dan 21 ketua bahagian di negeri itu telah bertindak keluar parti. – 2 Julai, 2019.
Komen