Haziq dipecat dari PKR


Zaim Ibrahim

Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dipecat serta merta daripada parti kerana melanggar kod etika sebagai anggota.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2019.

KETUA Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dipecat dari PKR serta merta kerana melanggar kod etika sebagai anggota parti, kata Lembaga Disiplin PKR.

Pengerusi lembaga itu Ahmad Kassim berkata pemecatan Haziq disahkan dalam mesyuarat biro politik PKR malam ini.

Keputusan dibuat selepas lembaga itu meneliti surat jawapan Haziq kepada surat tunjuk sebab yang diberikan kepadanya pada 14 Jun lalu kerana mencemar nama baik parti dan pemimpin kanannya.

“Kami telah meneliti surat jawapan (Haziq) pada 2 Julai 2019 petang tadi. Lembaga Disiplin mencadangkan kepada biro politik supaya memecat keanggotaan beliau. Lembaga Disiplin mendapati beliau telah melanggar kod etika anggota parti.

“Antara alasan-alasannya ialah beliau telah membuat tuduhan secara terbuka terhadap pemimpin parti berkenaan salah laku rasuah tanpa bukti,” kata Ahmad dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, malam ini.

Presiden PKR Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin kanan hadir sama pada sidang media itu.

Mengulas keputusan tersebut, Anwar berkata ia tidak berat sebelah.

“Lembaga Disiplin hari ini memberi syor memecat Haziq Abdullah dan Biro Politik yang bermesyuarat malam ini membuat keputusan menerima syor itu serta sebulat suara bersetuju memecat beliau,” katanya.

Presiden PKR Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin kanan yang turut hadir pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Julai, 2019

Jelas beliau, surat pemecatan Haziq akan ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dalam masa terdekat.

Haziq dipecat tiga minggu selepas mengaku terlibat melakukan hubungan seks dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Dalam pengakuannya, sehari selepas tersebar rakaman seks dua lelaki, Haziq turut menggesa agensi anti rasuah menyiasat Azmin yang didakwanya tidak layak jadi pemimpin kerana korup.

Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, menafikan tuduhan Haziq, yang disifatkannya fitnah jahat bertujuan memusnahkan masa depan politiknya.

Surat tunjuk sebab kepada Haziq sebelum ini mencetuskan pertelagahan dalam PKR apabila ada pandangan yang mahukan beliau dipecat serta merta.

Susulan daripada kenyataan Haziq, pemimpin PKR bertelagah meminta parti memecat Haziq.

Haziq sebelum ini dipecat daripada jawatan setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang juga Ketua Penerangan PKR.

Dalam pada itu, polis masih lagi menyiasat penyebaran rakaman seks yang dikaitkan dengan Azmin.

Menurut polis, Haziq disiasat mengikut Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabi’i (Seksyen 377B), menyebar bahan lucah (Seksyen 292), dan mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan (Seksyen 504).

Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian. – 3 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen