Pengasas produk putih kulit enggan tarik iklan, nafi rendahkan martabat wanita


Nabihah Hamid

Pengasas produk SlimmeWhite, Nur Farahayu Ikhsan berkata video tersebut kerana ia tidak bermasalah sebaliknya hanya menceritakan realiti sebenar yang dihadapi kaum wanita di Malaysia. – Rakam layar video Facebook, 29 September, 2017.

KLIP video iklan alat kecantikan pemutih kulit yang tular di Facebook memberi pengajaran kepada masyarakat dan bukannya merendahkan martabat wanita, kata pengasas produk SlimmeWhite. 

Nur Farahayu Ikhsan berkata pihaknya enggan menarik balik video tersebut kerana ia tidak bermasalah sebaliknya hanya menceritakan realiti sebenar yang dihadapi kaum wanita di Malaysia. 

“Sebenarnya saya pelik mengenai artikel mengutuk iklan itu. Daripada video itu, saya banyak dapat feedback berterima kasih kerana sedarkan wanita.

“Dan ada juga wanita yang beritahu saya perkara sama terjadi pada mereka macam dalam video,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Nur Farahayu mengulas video iklannya yang tular yang memaparkan sikap keras seorang suami kerana isterinya “tidak pandai berhias” dan gemuk “macam badak sumbu”.

Berdurasi empat minit, tontonan iklan tersebut mencecah 1.7 juta di laman Facebook rasmi produk itu dan mendapat lebih 30,000 perkongsian.

Video tersebut mendapat reaksi orang ramai termasuk aktivis dan peguam Ambiga Sreenevasan yang menyifatkan ia memberikan contoh yang buruk dan menganggap penindasan ke atas wanita sebagai suatu perkara biasa.

“Iklan itu mencemarkan kepekaan, harga diri dan kebijaksanaan kita. Ia seksis dan seolah-olah meremehkan layanan buruk lelaki kepada isteri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, pengasas produk langsing dan pemutihan kulit itu turut menegaskan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menjejaskan imejnya. 

“Mula-mula saya tak nak ambil tahu sangat maklum balas negatif sebab itu biasa. Tapi bila sampai gugat bisnes saya, saya tidak teragak-agak untuk membawa ke muka pengadilan.

“Sama macam drama dalam TV. Kita hendak pengajaran dan pada masa sama kita selitkan (iklan) produk saja. Sebab produk ini pun untuk membantu untuk kurus dan putih. Ktirikan itu saya tidak sangka sampai begini. 

“Artikel yang disiarkan di sebuah blog beri gambaran negatif untuk publisiti kami,” kata pengasas produk yang bertapak tiga tahun lalu. 

Dalam pada itu, pengasas bersama yang juga suami Nur Farahayu, Ajai berkata disebabkan video yang tular itu produk tersebut mendapat permintaan luas termasuk dari luar negara.

“Kita dapat permintaan dari Taiwan, Indonesia, Thailand dan Hong Kong.

“Video ini juga untuk suami menghargai isteri. Kita tak tekankan wanita jadi mangsa dan kita wanita bangkit,” katanya, sambil mengaku tidak boleh memuaskan hati semua orang yang memberikan komen-komen negatif. 

Jenama produk yang diiklan itu sudah bertapak 3 tahun dan mempunyai lebih 100 stokis di seluruh Malaysia.

Antara komen yang diberikan kepada video iklan itu di Facebook berbunyi: “Ini realiti memang banyak yg terjadi sebegini. Kalau nampak isteri selekeh, belikan dia pakaian yang cantik. Ada suami, isteri baru pegang hanger kat kedai baju dah kena marah,” kata Tieta Zara. 

“Rasa tak semua lelaki mcm tu. Perempuan ini ade juga mcm ni. Belum dapat terkejar-kejar. Bila dah dapat anak 2,3 agaknya dah naik bosan ngan laki die minta cerai,” tulis Natasha Sylvia Nashya Na. 

“Kalau lakinya yang buncit. Takpa pulak, eh? Asyik pompuan saja kena melawa. Yang lelaki buncit barai tak mengapa eh?,” soal pengguna Facebook yang memakai nama Qoqoelma Collection. – 29 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen