Iklan pemutih kulit tular di Facebook sedarkan hak wanita, kata aktivis


Aktivis mengulas sebuah filem pendek iklan produk kecantikan wanita yang tular di media sosial minggu ini, yang memaparkan sikap keras seorang suami kerana isterinya 'tidak pandai berhias' dan gemuk 'macam badak sumbu'. – Gambar Facebook, 29 September, 2017.

SIKAP dan pandangan masyarakat terhadap golongan wanita mesti berubah dan tidak boleh selama-lamanya dibiarkan dibentuk oleh media termasuk iklan yang cenderung mengukuhkan persepsi yang salah tentang mereka, kata aktivis wanita.

Mereka mengulas sebuah filem pendek iklan produk kecantikan wanita yang tular di media sosial minggu ini, yang memaparkan sikap keras seorang suami kerana isterinya “tidak pandai berhias” dan gemuk “macam badak sumbu”.

Iklan sepanjang empat minit itu menunjukkan bagaimana si suami berubah sikap selepas berkahwin dan asyik mencari salah isterinya serta tidak melayan dan menjaganya seperti yang dijanjikan semasa bercinta.

Peguam Ambiga Sreenevasan, penerima Anugerah Antarabangsa Wanita Berani daripada kerajaan Amerika Syarikat pada 2009, menyifatkan iklan itu memberikan contoh yang buruk dan menganggap penindasan ke atas wanita sebagai suatu perkara biasa.

“Iklan itu mencemarkan kepekaan, harga diri dan kebijaksanaan kita. Ia seksis dan seolah-olah meremehkan layanan buruk lelaki kepada isteri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambah beliau, apa yang lebih menakutkan ialah pembuat iklan itu percaya mereka boleh menjual barang yang mereka iklankan.

Klip video iklan krim pemutih kulit yang pertama kali terbit di laman Facebook Kokom pada 25 Spetember lalu dikongsi lebih 9,000 pengguna platform media sosial itu selepas lima hari dan menarik lebih 7,500 reaksi.

Pada satu peringkat dalam iklan itu, ketika isterinya yang terbaring kesakitan meminta dibawakan ke klinik, si suami menolak dan menyuruh isterinya itu berjalan kaki sendiri. 

“Kau hari-hari memang suka menyusahkan aku, eh? Kau ada kaki lagi, kan, boleh pakai, kan? Sorry, aku sibuk hari ini.

“Nah, duit! Kau pergi cepat. Karang mati kat sini, aku pulak yang susah,” tengking si suami sambil mencampakkan sejumlah duit pada isterinya yang terlantar di katil.

Di meja makan pula, si suami meludah semula makanan yang dimasak oleh isterinya dan bertanya masakan itu untuk dia atau untuk kucing.

Sementara itu, seorang lagi aktivis hak wanita yang lantang, Maria Chin berkata iklan itu memberikan gambaran yang selama ini dipakaikan oleh masyarakat kepada wanita — berbadan langsing, sentiasa nampak bergaya dan berkulit cerah.

“Sekiranya tidak, mereka akan didera termasuk didera secara seksual dan dilayan dengan hina,” katanya.

Tambah beliau, adalah sangat menyedihkan apabila wanita yang berpendidikan tinggi sampai ke peringkat universiti pun masih terpaksa berhadapan dengan layanan buruk seperti itu. 

“Pandangan masyarakat terhadap wanita mesti berubah. Kita boleh mulakan di rumah dan di sekolah,” katanya, sambil mengingatkan anak-anak mesti diasuh untuk saling hormat-menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira jantina.

“Pendidikan seks juga mesti diajar untuk mengurangkan kalau pun tidak menghapuskan keganasan (terhadap wanita) dan untuk mengubah cara berfikir (masyarakat).”

Dalam pada itu, beliau berharap golongan wanita harus mula bersuara “dengan lantang dan jelas” untuk mendapatkan layanan baik dan hubungan yang bermakna.

Sementara itu, Marina Mahathir memberikan pandangan yang sedikit berbeza apabila berkata filem pendek itu berjaya sebagai alat kempen kesedaran hak wanita.

“Sebenarnya, kalau tak ada iklan produk pun dah okay,” katanya.

Beliau melihat wanita dalam iklan itu yang diceraikan talak tiga oleh suaminya sebenarnya tidak mengalah dalam hidup sebaliknya suami itu yang nampak “bengis dan bodoh sangat”.

“Saya rasa semua orang khususnya kaum wanita akan ingat mesej jangan terima lelaki yang menindas dan akan lupa jenama produk itu. Jadi dari segi iklan, ia amat gagal tetapi dari segi mesej positif untuk wanita, amat berjaya,” katanya.

Jenama produk yang diiklan itu sudah bertapak 3 tahun dan mempunyai lebih 100 stokis di seluruh Malaysia.

Pengasas produk itu, Nur Farahayu Ikhsan yang dihubungi oleh The Malaysian Insight berkata beliau hairan dengan artikel sebuah laman web yang mengutuk iklan tersebut.

“Saya dapat juga maklum balas yang ucap terima kasih kerana menyedarkan wanita. Ada juga yang berkongsi kata mereka juga ada pengalaman yang sama seperti yang ditunjukkan dalam iklan itu,” katanya.

Beliau menjelaskan tidak akan menarik balik video itu kerana merasakan tidak ada apa-apa yang salah mengenainya.

Pada Jun lalu, rangkaian farmasi Watsons Malaysia diselar kerana membuat sebuah iklan bersempena Hari Raya Aidilfitri yang memaparkan kononnya wanita berkulit hitam tidak menarik.

Iklan bertajuk “Legenda Cun Raya” itu dikatakan diangkat daripada cerita legenda rakyat. Watsons Malaysia kemudian menarik balik iklan itu dan memohon maaf. – 29 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen