Tarikh akhir makin dekat, hanya 10,000 pemandu e-hailing ada lesen PSV


Chan Kok Leong

Hanya 10,151 pemandu E-hailing lulus ujian lesen kenderaan PSV sehingga 30 Jun, 2019, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. – Gambar fail EPA, 2 Julai, 2019.

HANYA 10,151 pemandu e-hailing lulus ujian lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) sehingga 30 Jun, 2019, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Jumlah itu kira-kira 62% daripada 16,338 calon, katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika sesi soal jawab menteri.

“Mereka menduduki ujian PSV dari 1 April hingga 30 Jun. Daripada jumlah itu, 10,151 lulus ujian dan layak mendapatkan lesen PSV,” katanya.

Kementerian juga menjangkakan jumlah pemandu e-hailing dengan lesen PSV akan meningkat kerana tarikh akhir semakin dekat iaitu 12 Julai.

Kerajaan pada November lalu mengumumkan semua pemandu e-hailing perlu mendapatkan lesen PSV, sama seperti pemandu teksi bermula Januari 2019.

Pemandu diberi tempoh hingga 12 Julai untuk melengkapkan kursus PSV dan mendapatkan lesen PSV.

Kursus PSV termasuk menghadiri kelas enam jam di pusat yang diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan ujian 60 soalan.

Loke menjawab soalan Mahdzir Khalid (Padang Terap-BN) berkenaan langkah diambil oleh kementerian susulan kenyataan Persatuan Pemandu Grab Malaysia hari ini, hanya 10%-50% pemandu e-hailing lulus ujian pada 14 Mei.

Loke turut menolak cadangan bahawa yuran mendapatkan lesen PSV terlalu mahal untuk pemandu e-hailing.

“Kursus PSV hanya RM200, dan lesen RM20. Ditambah dengan insurans antara RM300-RM500, kami menganggarkan kos untuk pemandu kira-kira RM800,” katanya.

The Malaysian Insight semalam melaporkan Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia meramalkan separuh daripada 170,000 pemandu akan berhenti kerana kos tambahan dalam memperoleh lesen PSV. – 2 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen