1 daripada 2 pemandu e-hailing akan berhenti selepas PSV dikuatkuasa


Khoo Gek San

Kebanyakan pemandu e-hailing terutamanya yang memandu secara sambilan berkata syarat yang ditetapkan bagi permohonan PSV membebankan dari segi kos dan masa terhadap industri yang kompetitif itu. – Gambar AFP, 1 Julai, 2019.

SYARIKAT e-hailing bakal kehilangan separuh daripada pemandu mereka apabila mereka diwajibkan mempunyai lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) mulai bulan ini.

Kebanyakan pemandu terutamanya yang memandu secara sambilan berkata syarat yang ditetapkan bagi permohonan PSV membebankan dari segi kos dan masa terhadap industri yang kompetitif itu.

Baru-baru ini Putrajaya mengumumkan mulai 12 Julai semua kenderaan yang digunakan untuk membawa penumpang berbayar dikehendaki mempunyai lesen PSV.

Pengerusi Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA) Daryl Chong berkata ramai pemandu sambilan merancang untuk menarik diri sebaik sahaja ia dikuatkuasakan.

“Kalau ikut harga yang Grab gunakan, saya rasa harga di waktu puncak akan jadi mahal disebabkan kurang pemandu,” katanya.

“Kekurangan pemandu di kawasan tertentu juga akan sebabkan penumpang sukar dapatkan kereta.”

Menurut Chong, bilangan pemandu yang berkurangan selepas 12 Julai kelak mungkin akan berlanjutan sehingga enam bulan.

“Ikut anggaran, kita ada kira-kira 170,000 pemandu e-hailing, kurang kira-kira 85,000 pemandu.

“Menjelang Januari 2020, kita percaya pemandu akan faham yang syarikat akan secara aktif mematuhi arahan kerajaan dan bilangan pemandu ini akan naik semula kepada 70% daripada jumlah asal.

“Apa yang kita faham, sudah pasti ada pemandu sambilan yang akan tarik diri. Kita harap mereka akan menimbang semula dan ambil ujian PSV supaya mereka dapat terus memandu untuk tambah pendapatan.”

Presiden Pemandu Grab Malaysia Arif Asyraf Ali (kanan) berkata penarikan diri pamandu e-hailing tidak dapat dielakkan dan dianggap sebagai salah satu cabaran dalam industri e-hailing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2019.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan selain daripada lesen PSV, kenderaan e-hailing juga perlu mempunyai insurans bagi pemandu dan penumpang, dan kenderaan mesti menjalani pemeriksaan berkala setiap tahun. Selain itu, lesen PSV juga harus diperbaharui setiap tahun.

Pengurus operasi syarikat e-hailing Dacsee, Andrew Chua berkata syarikatnya bersetuju untuk menyerap kos pengambilan lesen PSV, tetapi ramai pemandu bimbang untuk menjalani ujian dan pemeriksaan kenderaan di Puspakom.

Chua berkata syarikatnya juga menjangkakan ramai pemandu mereka akan menarik diri selepas 12 Julai.

Presiden Pemandu Grab Malaysia Arif Asyraf Ali berkata perkara ini tidak dapat dielakkan dan dianggap sebagai salah satu cabaran dalam industri e-hailing.

“Kerajaan menetapkan syarat bagi pemandu e-hailing termasuk ujian fizikal, insurans, lesen memandu dan pemeriksaan kereta di Puspakom bagi kenderaan berusia lebih tiga tahun.

“Pemeriksaan kereta mengambil masa paling lama, dan banyak lagi syarat lain kena dipatuhi juag menyebabkan pemandu rasa ia membazir masa dan wang,” katanya. – 26 Jun, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen