Rizal Faris kemuka bukti jadi presiden sah DPMM


Zaim Ibrahim

Rizal Faris Mohideen Abdul Kader tampil mengemukakan perakuan hari ini bagi membuktikan beliau presiden sah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). – Gambar Facebook, 1 Julai, 2019.

PRESIDEN baharu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Rizal Faris Mohideen Abdul Kader tampil mengemukakan perakuan hari ini bagi membuktikan beliau presiden sah pertubuhan itu.

Katanya, salinan perakuan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menunjukkan beliau dipilih sebagai presiden berkuatkuasa 1 Julai 2019.

Oleh itu kes berkenaan dianggap selesai memandangkan pihak yang mendakwa sebaliknya telahpun  menarik balik tuntutan ke atas jawatan tersebut.

“Kita anggap perkara ini habis. Kes pun sudah digugurkan. Apabila kita tunjukkan media kita ada dokumen yang sahih, tiada apa apa lagi perkara nak dibincangkan,” katanya.

Ia bagi menangkis kenyataan bekas timbalan presiden DPMM, Syed Hussein Alhabshee yang mendakwa dipilih sebagai presiden yang sah bagi organisasi berkenaan.

Bagaimanapun Syed Hussein menarik balik tuntutan tersebut pada 25 Jun lalu.

Menurut Rizal, perakuan pendaftaran dari ROS itu membuktikan bahawa beliau merupakan presiden sebenar selepas mesyuarat agung yang dijalankan pada 15 Jun lalu.

Pergolakan itu timbul disebabkan dana RM5 juta yang diterima DPMM daripada Pejabat Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun lalu.

Rizal hari ini menjelaskan, dana berkenaan untuk menganjurkan program ekonomi digital bagi meningkatkan penyertaan usahawan Melayu dalam sektor tersebut.

“Apa kita lihat salah satu perkara yang masyarakat Melayu terkebelakang adalah ekonomi digital. Angka penyertaan peniaga Melayu dalam ekonomi digital sangat rendah.

“Kita hasilkan satu kertas cadangan dan hantar kepada kerajaan (Barisan Nasional), untuk minta dana supaya kita dapat jalankan program kesedaran dan program modal insan dalam ekonomi digital. 

“Program itu dipanggil Go 4.0,” tambah beliau. 

Terdahulu, The Malaysian Insight melaporkan dana itu diberikan untuk program bersama komuniti usahawan seperti dinyatakan pada surat yang turut ditandatangani bekas perdana menteri Najib Razak.

Syed Hussein pula berkata, dana itu digunakan untuk program kemasyarakatan bagi usahawan Melayu. – 1 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen