RM5 juta punya pasal, Dewan Perniagaan Melayu bergolak


Mohd Farhan Darwis

Dana RM5 juta menyebabkan DPMM terbahagi dua sehingga ada dua jawatankuasa pimpinan, yang masing-masing mendakwa mereka adalah barisan yang sah dan ada kuasa mengikut undang-undang dan perlembagaan. – Gambar Instagram, 28 Jun, 2019.

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bergolak gara-gara RM5 juta yang ia terima daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, tahun lalu, kata sumber dalamannya.

Dana itu diberikan untuk DPMM menjalankan program bersama komuniti usahawan di seluruh negara, seperti yang dinyatakan pada surat yang ditandatangani oleh bekas perdana menteri Najib Razak. 

Surat itu bertarikh 17 April 2018, kira-kira tiga minggu sebelum PRU14, kata sumber.

Bagaimanapun barisan kepimpinan DPMM langsung tiada maklumat berkenaan dana tersebut, katanya. Siasatan mereka sebaliknya mendapati wang itu masuk ke Yayasan DPMM Pulau Pinang Bhd, yang ketika itu diketuai oleh presiden DPMM pada masa itu, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader, kata sumber.

“Ya betul, DPMM bergolak sebab dana RM5 juta itu yang diberikan kerajaan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Sumber itu maklum mengenai perjalanan DPMM sejak selepas PRU14, namun hanya bersedia berkongsi maklumat dengan syarat identitinya dirahsiakan.

The Malaysian Insight telah cuba mendapatkan respons Rizal Faris bagaimanapun gagal dihubungi.

DPMM pecah

Dana RM5 juta tersebut kini menjadi pertikaian di mahkamah selepas sekumpulan pemimpin DPMM memfailkan tindakan undang-undang terhadap Rizal Faris dan Setiausaha Agung DPMM Don Nazwin Don Najib kerana ingin tahu berkenaan kedudukan dana RM5 juta itu.

Dana RM5 juta menyebabkan DPMM terbahagi dua sehingga ada dua jawatankuasa pimpinan, yang masing-masing mendakwa mereka adalah barisan yang sah dan ada kuasa mengikut undang-undang dan perlembagaan.

Rizal Faris, presiden yang dipilih untuk sesi 2018-2019 mewakili kumpulan pertama, kini bertembung dengan barisan kepimpinan Syed Hussein Alhabshee, yang merupakan bekas timbalan Rizal Faris.

Syed Hussein mendakwa disokong sembilan daripada 15 cawangan negeri yang hadir pada mesyuarat agung tahunannya (AGM) pada 15 Jun lalu.

Rizal Faris menafikan dakwaan pihaknya menyeleweng dana RM5 juta itu, sebaliknya mendakwa dana tersebut adalah peruntukan untuk membangunkan aplikasi perniagaan atas talian yang dikenali sebagai “Go 4.0”.

Dana itu juga katanya diperolehi selepas DPMM mengemukakan idea pembangunan aplikasi itu kepada Najib, yang menteri kewangan ketika itu.

Syed Hussein bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Beliau mendakwa Majlis Eksekutif Dewan (MED) tidak pernah berbincang mengenai dana RM5 juta itu, malah tidak pernah memberikan sebarang kelulusan untuk ia dipindahkan ke akaun lain.

“Pasukan Syed Hussein adalah jawatankuasa yang sah. Yang tidak sah Rizal Faris, cumanya beliau gunakan kelebihan yang ada kerana menyimpan kata laluan untuk log masuk sistem Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi mengakses Sistem Elektronik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (eRoses) itu.

“Apabila perkara ini nanti diselesaikan di RoS, sepatutnya kemelut ini selesai,” kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan pergolakan DPMM ini sudah sampai ke pengetahuan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Semalam, DPMM yang diketuai Rizal Faris dalam satu kenyataan mendakwa tindakan 18 bekas ahlinya mengadakan mesyuarat agung pada 15 Jun lalu sebagai tidak sah mengikut Akta pertubuhan. Kenyataan itu juga mendakwa kumpulan 18 itu “melakukan penipuan besar” dan cuba memperdayakan ahli-ahli dewan.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat agung yang tidak sah itu diadakan dipercayai untuk merampas kuasa daripada kepemimpinan DPMM yang sah.

“Presiden DPMM yang sah di sisi undang-undang ketika ini masih lagi Encik Rizal Faris Mohideen Abdul Kader, seperti dalam rekod eRoses terkini di bawah kelolaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sumber bagaimanapun melihat tindakan Rizal Faris itu umpama menegakkan benang yang basah.

“Beliau hendak pertahankan apa yang dikatakan sebagai kesalahan yang kami ajukan,” katanya.

Beliau juga menafikan Syed Hussein “gila kuasa” seperti yang didakwa.

“Beliau pengerusi SME Corp dan pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), DPMM ini apalah sangat,” katanya.

“Apa yang dilakukannya ini adalah tanggungjawab menegakkkan kebenaran. Itu sahaja. 

“Kalau ikutkan kami bukan cari makan dengan DPMM, kami ada perniagaan masing-masing,” katanya. – 28 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen